AGENDABERITA UTAMANASIONAL

My IPR bantu kumpul data penerima inisiatif

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan melancarkan sistem My IPR bagi mengumpulkan maklumat penerima Insiatif Peduli Rakyat (IPR) dalam tempoh terdekat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sistem yang dijangka akan dilancar Disember ini atau selewat-lewatnya Januari 2020 itu bakal mengumpulkan data semua penerima IPR secara bersepadu.

“Pelaksanaan IPR sebelum ini sememangnya mempunyai kelemahan tertentu, iaitu data penerima terlibat tidak dikumpul di bawah satu bumbung.

“Disebabkan itu, kita terpaksa pergi dari agensi ke agensi berkaitan untuk mengumpulkan data penerima ini untuk diletak di bawah satu unit data yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sebelum ini berhadapan masalah untuk mencari kayu ukur terbaik dalam menentukan rekod penerima IPR.

“Jika kita menggunakan kayu ukur e-Kasih, kita akan dapat angka penerima tertentu dan jika guna kayu ukur Bantuan Sara Hidup (BSH) pula kita akan dapat angka lain.

“Melalui penjajaran ini, saya akui sejak dari awal memang ada sedikit kekurangan, namun kita dapat kesan dan berikan kepada mereka yang layak,” katanya.


Pengarang :