Datuk Seri Najib Razak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Najib didakwa arah padam nama Jho Low dalam laporan akhir audit 1MDB

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perdana menteri dan menteri kewangan didakwa telah mengarahkan perenggan berhubung Penyata Kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berbeza dipadamkan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Mengikut Lampiran A dalam pertuduhan pindaan yang dibaca jurubahasa mahkamah, Najib juga dituduh mengarahkan nama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang hadir dalam Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 26 September 2009 tidak direkodkan dalam senarai kehadiran mesyuarat tersebut walaupun sebenarnya Jho Low hadir.

Lampiran itu juga antaranya menyatakan Najib didakwa telah mengarahkan pindaan pada perenggan 2.1.3 laporan itu dengan menyatakan bahawa Lembaga Pengarah Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang ditandatangani oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Pengarah TIA, Tan Sri Ismee Ismail untuk meneruskan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

Bagaimanapun laporan asal menyatakan bahawa terbitan IMTN mendapat kecaman daripada pelbagai pihak antaranya Menteri Besar Terengganu (Diperbadankan) yang telah memberi amaran keras melalui surat bertarikh 29 Mei 2009 kepada AmBank yang didakwa terlibat dalam salah laku dan ketidakakuran semasa terbitan IMTN itu.

Najib juga selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu didakwa telah mengarahkan perenggan 2.1.6 dan 2.1.7 dalam laporan itu dipadamkan.

Antara isi kandungan kedua-dua peranggan yang diarah dipadamkan itu menyatakan Shahrol Azral mengakui terbitan bon IMTN terpaksa diteruskan kerana perjanjian program yang ditandatangani pada 15 Mei 2009 merupakan satu ‘bought deal’ di mana AmBank sebagai ‘lead arranger’ dan ‘primary subscriber’ telah mendapat langganan pasaran sekunder bagi terbitan bon tersebut.

Ahli Parlimen Pekan itu turut dituduh mengarahkan keseluruhan perenggan 4.2 bertajuk “Serahan Penyataan Kewangan Yang Berbeza” dalam laporan itu dipadamkan yang mana laporan asal menyatakan 1MDB perlu menyerahkan satu salinan penyata kewangan tahunan Kumpulan 1MDB yang telah diaudit kepada pemegang sahamnya iaitu Menteri Kewangan Diperbadankan.

Isi kandungan perenggan yang didakwa diarah dipadamkan antara lain turut menyatakan semasa mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 18 Disember 2015, seorang ahli PAC membangkitkan isu adakah benar terdapat dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014, yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan institusi kewangan yang memberi pinjaman kepada syarikat itu.

Dalam perenggan yang diarah dipadamkan itu juga dinyatakan penyata kewangan telah diaudit di mana Laporan Juruaudit Tetuan Deloitte telah dikeluarkan pada 5 November 2014, bagaimanapun semakan Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati wujud beberapa perbezaan antara penyata kewangan yang dikemukakan oleh 1MDB kepada SSM dengan salinan yang diserahkan kepada MKD dan institusi kewangan.

Najib juga didakwa mengarahkan supaya perkataan dalam Laporan Juruaudit Tetuan Deloitte diubah iaitu perkataan “the Group” merujuk kepada 1MDB dalam perenggan ‘Available-For-Sale-Investments – Investment in segregated portfolio company’ kepada SSM manakala perkataan “Brazen” merujuk kepada syarikat Brazen Sky Ltd yang ditubuhkan oleh Jho Low, dalam perenggan sama kepada MKD dan institusi kewangan.

Najib turut didakwa mengarahkan pemadaman ayat pada perenggan yang menyatakan ‘memandangkan terdapat perbezaan yang ketara pada kedua-dua penyata kewangan tersebut adalah wajar pihak berkuasa yang terlibat membuat siasatan lanjut terhadap perbezaan tersebut’.

Bagaimanapun Najib, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan iaitu menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda seperti di Lampiran A sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu perdana menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Pindaan terhadap pertuduhan itu adalah dengan menambah Lampiran A iaitu dengan menyatakan perincian perenggan yang diarah dipadam dan dipinda.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Pertuduhan pindaan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah. Najib dan Arul Kanda masing-masing berkata, “Faham dan minta dibicarakan”.

Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes Najib dan Arul Kanda selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan.

Perbicaraan bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :