Amirudin Shari menyampaikan ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Sungai Tua 2019 di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 24 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri Pintar: Selangor bawa Malaysia ke mata dunia

BATU CAVES, 25 NOV: Selangor muncul negeri pertama di Malaysia yang membawa agenda Negeri Pintar ke mata dunia melalui Kongres Ekspo Bandar Pintar Sedunia (Smart City Expo World Congress) di Barcelona, baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata dasar Kerajaan Negeri yang bermula pada 2015 itu sekali gus membuktikan agenda berkenaan berada pada kedudukan tepat.

Menariknya, beliau berkata Selangor adalah negeri pertama mewakili Malaysia pada persidangan yang turut membariskan negara besar dunia.

“Jika pada peringkat rantau ASEAN, Selangor duduk bersama Jakarta dan Bandung pada kongres yang turut membabitkan lebih 146 negara itu.

“Oleh itu, saya yakin kita berada di landasan serta kedudukan yang betul bagi membawa Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Dewan Siantan, di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Shamsul Shahril Badliza.

Program yang turut diserikan dengan nyanyian serta tarian itu dihadiri hampir 1,000 penduduk.

Terdahulu Amirudin mengetuai delegasi Selangor termasuk Smart Selangor Development Unit (SSDU), Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) dan Smartsel Sdn Bhd menghadiri kongres di Sepanyol.

Pada kongres berkenaan, syarikat berkaitan kerajaan Selangor memeterai memorandum persefahaman bersama United Kingdom, Amerika Syarikat dan Turki.

Persidangan yang berlangsung dari 19 hingga 21 November itu turut dihadiri lebih 20,000 pengunjung dengan 1,010 pempamer.


Pengarang :