BUDAYARENCANA

Nyawa serapuh anak kecil

Oleh Zahid M. Naser

BUDAK itu belum kenal tuhan, dia tak pandai berdoa. Maka, tempat dia meminta tolong hanya si arwah Khairiah. Mak, tolong! Ayah jahat! Ratib hati si Muhsin bergema dalam sembunyi. Serupa meraung, dia tak lagi sanggup menanggung jerkah ngeri Salim Abdul yang dulu pernah sedikit mengasihinya.

Sejak kematian Khairiah, Muhsin keliru. Kasih sayang yang pernah dia rasakan turut mati tertanam dalam lahad Khairiah. Senyum jarang-jarang Salim pada anaknya kini langsung tiada. Anak sundal pula jadi nama baru si Muhsin.

Kematian Khairiah mengubah Salim menjadi perengus. Muhsin keliru kenapa bapanya masih mahu membelanya sedang kebanyakan masa lelaki itu akan menyengat perut kecilnya dengan penumbuk dewasa.

Jika tidak ditumbuk, Muhsin akan berlapar menunggu kepulangan lelaki itu. Mujur sahaja, kalau nasibnya baik, Kak Jiha sebelah rumah akan menghulurkan kuih karipap dari celah tingkap. Muhsin dikunci dari luar oleh bapanya sendiri.

Salim Abdul berasa dengan layanan sedemikian, anaknya akan duduk diam – tidak lagi terloncat-loncat.

1.1

Salim separuh telanjang membuka bungkus makanan. Matanya mencari Muhsin. “Sin!” Dia memanggil tiba-tiba. Tubuh anak yang masih basah berlumur buih di balik timbunan baju itu terjaga. Tidak menyahut, bahunya menggeletar membiarkan suara marah itu. “Sin!” suara itu mendekat. Nampak air mata jatuh di pipi Muhsin yang tak mengerti.

Keras jemari menggenggam rambut Muhsin. Anak itu terapung di udara ketika Salim menariknya keluar. Tubuh kecil itu dihenyak ke dinding. “Ayah… Sin minta maaf,” tanpa tahu silapnya, anak itu merayu.

“Aku panggil kenapa kau tak datang!!” Tapak kaki pula menghinggap perut kecil itu. Seraya anak itu tergeletik. Salim berlalu merakusi nasinya setelah mengerling tubuh si kecil. Hatinya puas.

2.

Khairiah adalah perempuan yang dinikahi Salim Abdul dengan terburu-buru. Menginjak empat tahun perkahwinan, pelamin mereka jadi belenggu kerana sering tidak cukup wang belanja. Muhsin pula tidak pandai duduk diam. Salim sayang Muhsin sebatas gelar bapa dan anak. Tidak lebih dari itu.

Bagi Salim, melihat Khairiah menjaga anak adalah kerehatan. Dia sebagai bapa hanya perlu memberi duit kepada warisnya. Namun, berapa banyak yang mampu dia beri dengan kerja tidak tetapnya.

Salim tidak sedar Khairiah sudah berubah, Khairiah yang menyerahkan hidup kepadanya sudah bosan. Bosan dengan Salim yang memandang tubuhnya hanya sebagai tempat melepas ketegangan, melihatnya seperti haiwan betina.

Salim yang sering keluar sampai lewat malam lupa bahawa perempuan adalah anak manja yang harus sentiasa dibelai. Mereka walaupun tumbuh, sentiasa mahu dipelihara. Salim sebagai suami fikir dia hanya perlu memberi sedikit dan menuntut sebanyak-banyaknya dari sang isteri.

3.

Dulu, sebelum semuanya, Khairiah, ghairah sekali orangnya. Mereka gembira walaupun hidup sederhana. Salim membawa lori, sibuk. Tetapi apabila lori majikan yang dijaga Salim dicuri. Lelaki itu berubah. Sentiasa terlihat buntu dengan kehidupan, dengan hutangnya. Kerana itu, dia mencari tenang di kedai kopi.

Khairiah merasakan perubahan lakinya. Lakinya tidak lagi mahu membelainya baik-baik ketika bercinta, tidak lagi mahu melayan kerenah manjanya. Hal itu membuat Khairiah mula memikirkan yang macam-macam. Alangkah baiknya kalau laki aku macam Jani Nor. Lembut membuai hati wanita. Siri drama lakonan Jani Nor betul-betul membuat jiwanya terbelai. Dalam mimpi siangnya setelah menidurkan Muhsin, dia akan bertemu aktor tampan itu. Aktor tampan yang ditontonnya hari-hari membuat dirinya berasa sempurna. Di atas katil dia akan memikirkan rangkulan bulat Jani Nor. Apabila memikirkan Jani Nor, Khairiah akan terbayang tubuh kekar lelaki selingkuhannya, Wasim Abbas.

3.1

Ketika Salim keluar bekerja. Khairiah akan melawa, fikirannya penuh dengan Wasim Abbas. Seorang warga Pakistan berwajah persis Jani Nor. “Kakak, ini keropok untuk anak you,” tegur Wasim sambil memegang Muhsin yang tak pandai duduk diam, melompat-lompat di dalam kedai itu. Muhsin yang berumur enam tahun girang bila Pakcik Wasim memberinya keropok.

Pertama kali dilayan Wasim di kedai runcit tempat mereka berkenalan, Khairiah tak menghiraukan si Wasim, namun setelah selalu dirayu dan sanggup pula lelaki itu berhabis duit. Khairiah mula menyerahkan hatinya. Kerana sayang, mereka mula berselingkuh.

Selingkuh mereka bagaimanapun seperti bangkai gajah tua, sukar disorok.

4.

Bangkai gajah yang dijaga pasangan selingkuh itu dihidu rakan lepak si Salim. Wasim, satu hari, dilihat masuk terburu-buru ke dalam rumah si Salim dengan muka teruja. Rakan si Salim mengintip si Khairiah berkucup dengan lelaki itu. Si rakan tadi segera melapor kepada Wasim.

4.1

Satu malam yang dirancang, Salim merempuh rumahnya sendiri. Dia tahu mancung hidung lelaki itu sedang berada di celah paha perempuannya. “Sundal!”.

“Mak, ayah dah balik!”

“Sin kau duduk tepi!” Ekor matanya melihat Khairiah kelam-kabut melarikan diri di balkoni dapur rumah pangsanya. Seperti ribut, Salim yang gempal mengejar Khairiah yang kelihatan pucat memaut sesuatu.

“Apa kau buat ni sundal!!”

Khairiah tak menjawab kerana sibuk memaut tangan kekasihnya dari tembok balkoni dapur tingkat 14 itu.

“Abang Salim tolong aku bangg!!” Separuh tubuh Khairiah kini tergantung juga. Sayup-sayup kedengaran jeritan Wasim yang hanya berseluar dalam merayu perempuan itu menariknya semula ke balkoni. Sementara Khairiah yang serabai rambutnya merayu dikasihani. Dia tidak kuat lagi menanggung lelaki selingkuhannya. “Abang tolong bang!”

“Perempuan sundalll!” Si Salim menerkam bininya.

Gaun perempuan itu melayang, tangan Salim merenggut. Namun, ia terkoyak jatuh.

Melayanglah tubuh itu terjunam ke bumi. Seperti wau terputus tali. Salim duduk genggam perca gaun Khairiah dilemparkan. Wajahnya kosong berpucat, mungkin memikirkan percik darah dua tubuh yang berkecai.

Di ruang tamu, Muhsin masih terloncat-loncat menonton kartun kegemarannya. Dia hanya terdiam bila orang mengerumuni rumah kecilnya malam itu.

4.2

Kak Jiha memeluk erat tubuhnya ketika dia meraung melihat ibunya diperosok dalam kubur. Hari itu bermula penderitaan Muhsin belajar hidup dengan bapanya yang jahat. Yang setiap hari menghamburkan seranah bahawa dia sudah jadi sial. Seperti malam Muhsin tergeletik dihinggap tapak kaki bapanya sendiri.

5.

Kematian Khairiah nampaknya bukan saja membuat dia lebih buntu, ia meninggalkan celaka kepada Salim. Memang ketika Khairiah hidup, wanita itu sahajalah yang melayan kerenah Muhsin.

Setelah merakusi makanannya, lelaki itu meneguk bir keenamnya. Dalam kufur dan separa sedar, Salim menyeranah nasib. “Engkau patut mampus sekali dengan mak kau.” Hilainya kemudian diiringi tangisan yang nadanya sukar dipastikan. Kemudian dia senyap, hujung bola matanya memandang lama anak itu.

Salim bangun menguis Muhsin yang nafasnya belum sedar. “Eloklah kau tidur, aman dunia,”

Lelaki itu kemudian bangun, selerak rumahnya tak dipedulikan kerana pundi kencing harus dikosongkan. Terhuyung-hayang dia membuka seluar.

Masuk ke dalam bilik air, malang menyambar kakinya. Sabun permainan Muhsin berhelah. Licin ia menyentap kaki lelaki itu. Sempat dia menjerit memanggil tuhan.

Kepalanya bocor terbelah menghentam batu tempat punggung berlabuh. Lantai berbanjir merah. Kala itu, azan kelima berkumandang.


Pengarang :