EXCOSELANGOR

Operasi KDEBWM di MBSA bermula Januari 2020

SHAH ALAM, 5 NOV: Pengurusan dan kutipan sampah domestik di Selangor akan diuruskan sepenuhnya oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) bermula 1 Jan tahun hadapan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, buat masa ini KDEBWM sudah beroperasi di 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor kecuali di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Bermula Januari tahun hadapan, KDEBWM akan mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan pengurusan kutipan sampah di semua 12 PBT di Selangor,” katanya.

Sze Han (PAKATAN-Kinrara) berkata demikian ketika menjawab soalan mulut yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurutnya, sehingga kini sejumlah 930 kontrak diberikan kepada sub kontraktor bagi menjalankan kerja kutipan sisa domestik dan pembersihan awam.

“Sejumlah 421 kontrak diberikan untuk kerja kutipan sisa domestik manakala 509 kontrak diberikan untuk kerja pembersihan awam dan sampah pukal,” katanya.


Pengarang :