PBT SELANGOR

Operasi MPSJ periksa pusat jagaan, taska, tadika

SHAH ALAM, 15 NOV: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan operasi penguatkuasaan di pusat jagaan, taska dan tadika bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini atau kecuaian membabitkan kanak-kanak.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik, Azfarizal Abdul Rashid berkata, menerusi operasi itu, pihaknya akan memeriksa semua premis tersebut untuk memastikan pemiliknya mematuhi standard serta garis panduan yang dibenarkan.

“Berdasarkan rekod sehingga bulan ini, terdapat 99 pusat jagaan dan 147 premis taska di bawah pentadbiran MPSJ.

“Menerusi pemeriksaan di pusat jagaan, MPSJ mendapati ada premis yang melakukan operasi tidak sah iaitu tidak mempunyai lesen perniagaan walaupun berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Azfarizal berkata, pihaknya menggesa semua pemilik pusat jagaan, taska dan tadika untuk memastikan premis mereka mempunyai lesen perniagaan dan iklan yang sah sebelum memulakan operasi terbabit.

“MPSJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis yang tidak berlesen semasa operasi dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan kompaun RM1,000 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ) 2007.

Operasi bersepadu itu turut disertai JKM dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Untuk sebarang pertanyaan, pemilik perniagaan boleh hadir ke Ibu Pejabat MPSJ atau menghubungi Jabatan Pelesenan MPSJ di talian 03-8026 3131 sambungan 3173, 3176, 3177, 7418 atau 4321.


Pengarang :