AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Orang Asli perlu peka soal kesihatan, kebersihan dan pendidikan

BANTING, 3 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya mengambil berat berhubung kesihatan dan kebersihan serta memberi tumpuan kepada bidang pendidikan.

Baginda bertitah, Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diharap dapat bekerjasama bagi memastikan masyarakat Orang Asli berada dalam keadaan sihat dan persekitaran yang baik.

“Penjagaan kebersihan diri dan kawasan sekitar adalah perlu bagi memastikan tidak ada wabak penyakit berjangkit yang boleh membahayakan masyarakat.

“Beta menyeru kepada semua Tok Batin dan masyarakat Orang Asli menghantar serta memastikan anak mereka bersekolah untuk mendapat pendidikan sempurna.

“Ini amat penting pembangunan generasi masyarakat Orang Asli pada masa akan datang. Beta tidak mahu anak Orang Asli ini tercicir dan tersisih daripada arus pembangunan di Selangor,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Program Perjumpaan Dengan Masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba pasangan diraja itu sekitar jam 10 pagi disambut Tengku Amir Shah; Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar.

Baginda kemudiannya dibawa ke Pusat Kraf Orang Asli Sungai Bumbum dan Mah Meri Cultural Village untuk melihat sendiri demo perkahwinan, kraftangan anyaman, ukiran kayu, masakan tradisional, pembuatan alat permainan serta bertemu dengan usahawan Orang Asli.

Baginda turut berkenan menyampaikan saguhati kepada 55 Tok Batin seluruh Selangor berjumlah RM400 seorang.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin bersama Tengku Amir Shah berkenan melawat dan melihat aktivi di ruang pameran di Pusat Kraf Orang Asli, Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat pada 3 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam titah sama, baginda menyeru kepada masyarakat Orang Asli supaya dapat mengatur kehidupan mereka dengan lebih baik.

“Bagi mereka yang minat bertani, diharap dapat menjalankan usaha pertanian dengan tekun dan terancang.

“Beta juga difahamkan ramai masyarakat Orang Asli yang mempunyai bakat dalam pembuatan kraf yang boleh diketengahkan dan dijadikan sebagai satu perusahaan bagi menambah pendapatan.

“Dalam hal ini, beta berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli juga Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dapat membantu melaksanakan aktiviti yang berkenaan,” titahnya.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin bersama Tengku Amir Shah berkenan melawat dan melihat aktivi di ruang pameran di Pusat Kraf Orang Asli, Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat pada 3 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :