Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN berdepan cabaran hebat PRK Tanjung Piai jika…

JEMPOL, 9 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) berdepan cabaran hebat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai jika rakyat menilai prestasi semasa pakatan itu dalam mentadbir kerajaan selama lebih setahun, kata Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagaimanapun jika rakyat dapat memahami betapa sukarnya kerajaan hari ini mengendali dan mengemudi pentadbiran sekarang, mereka (rakyat) akan memberikan sokongan.

“Kita akui memang ada cabaran, sebab orang (rakyat) ukur kita bukan berbanding dengan yang lama (kerajaan terdahulu), kalau berbanding yang lama kita akan menang, tetapi mereka (rakyat) ukur kita setelah satu tahun setengah kita perintah.

“Tetapi saya yakin Insya Allah jika mereka dapat fahami betapa sukarnya kita mengendalikan dan mengemudi pentadbiran hari ini, mereka akan beri sokongan,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi KEADILAN Negeri yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan dan kepimpinan keseluruhannya tidak boleh mengharapkan dokongan rakyat terus menerus sekiranya tidak dapat menjana pertumbuhan ekonomi secara positif dan tidak dapat agihkan kekayaan itu kepada rakyat.

Justeru katanya tugas jentera pilihan raya bagi PRK Parlimen Tanjung Piai haruslah memberi penjelasan kepada rakyat apa yang kerajaan hari ini warisi dari kerajaan terdahulu dan apakah langkah yang telah kerajaan ambil untuk mengatasinya.

“Kadang-kadang maklumat itu tidak sampai, jadi itulah tugas kita untuk sampaikan agar rakyat dapat gambaran sebenar kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Berhubung konvensyen hari ini, Anwar menegaskan parti itu perlu kembali berbicara soal rakyat, masalah kemiskinan, di samping membantu kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

“Saya mahu ahli-ahli jangan lupa terutamanya bila kita tubuh kerajaan kita sibuk dengan jawatan, perebutan, pengaruh kuasa…kita mesti ingat parti ditegakkan untuk jaga kepentingan rakyat,” katanya.

Konvensyen sehari itu disertai kira-kira 800 ahli KEADILAN dari seluruh Negeri Sembilan.

-BERNAMA


Pengarang :