AGENDANASIONAL

PAKATAN berusaha selesai rasa tidak puas hati semua kaum

PONTIAN, 9 NOV: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa berusaha menyelesaikan masalah semua kaum dan rasa tidak puas hati mereka, kata Timbalan Presiden PAKATAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden BERSATU itu berkata, bagi menyelesaikannya, kerajaan bagaimanapun memerlukan sokongan rakyat untuk meneruskan peranannya itu.

“Saya tahu masyarakat Tiong Hua tak berapa puas hati. Saya cakap dengan orang Melayu mereka juga beritahu rasa tak puas hati dan orang India pun turut tak puas hati,” katanya pada majlis makan malam bersama persatuan-persatuan Cina Pontian di Dewan Hai Kee di sini malam tadi.

Katanya, jika bercakap mengenai masalah, tidak akan ada orang yang akan rasa puas hati dengan apa keadaan sekalipun, tetapi yang penting adalah mencari jalan untuk selesaikan masalah.

“Sebab itu, saya hendak jelaskan di sini sempena hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti, kita kena memikirkan supaya dapat memilih calon yang berupaya menjadi wakil rakyat dan boleh tolong kita,” katanya.

Beliau berkata, jika rakyat membuat keputusan untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada pilihan raya itu, beliau percaya Wee tidak dapat membantu rakyat, kerana bukan lagi berada dalam kerajaan.

“Sebab itu, dalam PRK ini kita letakkan calon Haji Karmaine Sardini. Ini calon kita daripada PAKATAN. Walaupun beliau daripada BERSATU, dia mewakili semua parti…KEADILAN, DAP, AMANAH bermakna bergabung dalam satu,” katanya.

Katanya, dengan pemilihan Karmaine sebagai wakil rakyat, dia mampu memudahkan pelbagai urusan kerana negeri Johor dan di peringkat pusat berada di bawah pentadbiran sama.

Majlis berkenaan dihadiri kira 1,000 ahli persatuan terbabit.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PAKATAN pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, calon PAKATAN berdepan pertandingan enam penjuru melawan Wee yang mewakili BN, calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon BEBAS, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA


Pengarang :