AGENDANASIONAL

PAKATAN formula terbaik buat Sarawak – Mohamad Sabu

SIBU,10 NOV: Gabungan empat parti politik yang bernaung di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah formula terbaik untuk memerintah Sarawak selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu berkata, ini kerana PAKATAN yang terdiri daripada PKR, DAP,BERSATU dan AMANAH dianggotai rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Menurutnya, rakyat Sarawak semakin yakin dengan PAKATAN selepas kejayaan mengambil alih pucuk pimpinan negara selepas pilihan raya umum lalu.

“Bagi Sarawak, PAKATAN adalah formula terbaik kerana mewakili semua suku kaum”,katanya semasa berucap pada majlis Makan Malam ‘Memenuhi Harapan, Mendukung Aspirasi’ di sini malam tadi.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu . Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata, AMANAH yang merupakan antara parti komponen PAKATAN mendapat sambutan menggalakan daripada pengundi-pengundi di Sarawak pada PRN yang lalu.

“Ujian pertama AMANAH walapun baru tak sampai setahun ditubuhkan telah bertanding di 13 kerusi (DUN) terutama di kawasan pedalaman kerana kita tidak mahu BN menang percuma.Beberapa DUN kita tidak hilang wang pertaruhan dan pilihan raya Parlimen pula undi kita perolehi amat memberangsangkan.

“Pada pilihan raya itu pula undi kita perolehi amat memberansangkan dan pilihan raya tahun depan insya Allah AMANAH dan Pakatan Harapan akan ambil alih pentadbiran Sarawak”,tegasnya.

Sementara itu pada sidang media, Sabu berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan manifesto khas untuk Sarawak akan dibuat bila-bila masa jika ada panggilan daripada Pengerusi PAKATAN Sarawak.

Menurutnya, perbincangan berhubung pengagihan kerusi antara empat komponen PAKATAN dan manifesto khas tersebut boleh disiapkan sekurang-kurangnya awal tahun depan.

Terdahulu, Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Khalil Abang Naili dalam ucapannya alu-aluannya berkata, untuk memastikan Sarawak maju, polisi kerajaan Sarawak mestilah sama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Polisi kerajaan Sarawak mestilah selari dengan Kerajaan Persekutuan, kalau tidak rakyat Sarawak akan menderita. Kerajaan Persekutuan sedaya – upaya membantu rakyat Sarawak”,katanya.

— BERNAMA


Pengarang :