Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) menyampaikan ceramahnya ketika berkempen bagi PRK Tanjung Piai, pada 10 November 2019. – Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PAKATAN saksama, parti berbilang kaum

PONTIAN, 11 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah sebuah parti gabungan yang mengamalkan sistem kesamarataan dan saksama antara satu sama lain, dengan anggota pentadbiran kerajaannya yang benar-benar berbilang kaum.

Ketua Setiausahanya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, selepas PAKATAN berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pentadbiran parti gabungan itu sentiasa meletakkan parti komponennya terdiri daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah, memegang jawatan tertentu secara adil dan seimbang.

Malah, katanya perkara ini adalah bukti bahawa PAKATAN mengamalkan sistem pentadbiran yang mementingkan perpaduan kaum serta menghormati antara satu sama lain.

“PAKATAN adalah parti yang saksama. Apabila kita menang pada PRU14, memang jumlah kerusi Ahli Parlimen dalam empat parti PAKATAN tak sama…PKR paling banyak, nombor dua DAP, nombor tiga Bersatu dan (keempat) Amanah.

“Macam mana kita (PAKATAN) nak seimbangkan, apabila kita melantik ahli Dewan Negara kita cuba seimbangkan. Contohnya parti yang paling banyak kerusi dalam Dewan Rakyat adalah PKR, apabila lantik Senator pula, kita tidak lantik terlalu ramai daripada PKR…kita seimbangkannya dengan melantik Senator daripada DAP, Amanah dan Bersatu,” katanya pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, di sini malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November, manakala undi awal pada 12 November ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan calon PAKATAN, Karmaine Sardini, Datuk Seri Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional, calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, Wendy Subramaniam mewakili Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA


Pengarang :