Nur Syamila Mohamed Sidek bersama karyanya bertajuk Rumah Angkut
AGENSISELANGOR

Pameran terbuka pilih tema realiti kehidupan

SHAH ALAM, 13 NOV: “Dalam kehidupan kadang-kadang kita berada di bawah, kadangkala di atas, kadang-kadang ramai manusia berpura-pura, menikam belakang dan sebaliknya.”

Itu yang diluahkan Shaliza Juana Mohd Jeffri, pelukis “The Hypnotism of The Virtues and The Vices” yang berjaya memenangi Anugerah Insentif pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2019, kali ini.

Pelukis sepenuh masa itu berkata karya yang dihasil melalui akrilik di atas kanvas bersaiz 152 sentimeter (sm) x 140 sm berdasarkan realiti kehidupan manusia masa kini.

Katanya idea berkenaan timbul apabila melihat kerenah, gelagat dan hasad dengki manusia yang sentiasa mahu menjatuhkan antara satu sama lain.

“Saya menggunakan elemen tangga dan ular yang menggambarkan tangga kejayaan manakala ular pula walaupun berwarna-warni dan cantik, namun berbisa.

“Bentuk latar belakang lingkaran pula menggambarkan kehidupan manusia yang kadangkala berada di bawah kadangkala di atas, namun ramai yang berniat mahu jatuhkan manusia lain.

Shaliza Juana Mohd Jeffri bersama karyanya The Hypnotism of The Virtues dan The Vices

“Menyentuh berkenaan warna pula, hitam putih dipilih menggambarkan hitam putih kehidupan manakala warna-warni pada ular memberi gambaran cantik tidak semestinya baik dan sebaliknya,” kata anak kelahiran Pontian, Johor itu.

Beliau ditemui SelangorKini pada Majlis Perasmian Pameran Galeri Shah Alam 2019 yang diadakan sejak 11 November hingga 26 Disember ini, di sini, hari ini.

Seorang lagi penerima anugerah berkenaan, Nur Syamila Sidek turut meluahkan kesyukuran apabila hasil karyanya bertajuk “Rumah Angkut” turut terpilih.

“Karya ini atas pengalaman saya sendiri yang membawa maksud perasaan keterasingan apabila berlaku perpindahan daripada satu kawasan ke satu kawasan.

“Perasaan itu saya luahkan menerusi lukisan ini dan ia juga membawa maksud penerimaan orang sekeliling terhadap diri saya ketika berlakunya perpindahan itu,” katanya yang meluahkan hasil karya menggunakan media campuran, bersaiz 91 sentimeter (sm) x 91 sm.

Sebanyak lima pengkarya menerima insentif berjumlah RM2,500 sebagai galakan dalam menghasilkan karya terbaru serta bermutu tinggi.


Pengarang :