AGENDANASIONAL

Pasang papan tanda amaran di lokasi berisiko lemas

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan ‘panas’ yang menjadi tumpuan pengunjung untuk melakukan aktiviti air bagi mengelak berlakunya kejadian lemas.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga disarankan supaya menugaskan lebih ramai anggotanya bagi memantau aktiviti pengunjung di kawasan seperti di sungai, pantai, dan air terjun berkenaan.

“JBPM boleh letak bendera berwarna merah sebagai amaran supaya sesiapa pun tidak boleh masuk di lokasi itu untuk melakukan sebarang aktiviti air, sementara papan tanda yang dipasang oleh PBT di kawasan berisiko tinggi juga perlu menyatakan situasi lokasi yang mereka ingin kunjungi.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk semua pihak untuk tidak lagi leka berkenaan soal keselamatan (ketika melakukan aktiviti air) ini, kerana ia sangat penting,” katanya kepada, di sini, hari ini.

Berdasarkan perangkaan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Januari hingga Oktober lepas, kawasan sungai merekodkan kes mati lemas paling tinggi iaitu 109 kes.

“Ia diikuti dengan kes lemas di kawasan pantai dengan 41 kes; kawasan tasik sebanyak 27 kes, manakala kawasan air terjun 11 kes, malah terdapat juga empat kes direkodkan mengenai remaja terjatuh dalam pembentungan.

“Berdasarkan angka ini, kita boleh melihat gambaran bahawa sesiapa yang mahu terlibat melakukan aktiviti air mesti memahami tentang risiko bahayanya… walaupun seseorang itu mempunyai kemahiran berenang sekalipun, tetapi kalau tidak pandai ‘membaca’ keadaan (air dan cuaca) dengan baik, tidak mustahil dia juga boleh menjadi mangsa dalam kes mati lemas,” katanya.

Sehubungan itu, Lee menasihati masyarakat terutamanya penggemar aktiviti air untuk meneliti keadaan paras air serta cuaca sebelum melakukan sebarang aktiviti berikutan musim Monsun Timur Laut, ketika ini.

Beliau turut mengingatkan golongan ibu bapa agar peka terhadap keselamatan anak semasa berada di kawasan yang melibatkan aktiviti air termasuk di kelab komuniti yang menyediakan kolam renang.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata, Ikatan berhasrat berkolaborasi dengan Persatuan Penyelamatan Keselamatan Malaysia di Pulau Pinang (LSSM) bagi mengadakan lebih banyak program kesedaran mengenai keselamatan aktiviti air.

“Dengan kolaborasi ini juga kita harap anggota LSSM boleh membantu Ikatan memberikan khidmat untuk mengajar cara berenang kepada sesiapa terutamanya murid dan pelajar,” katanya.

Ikatan adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada Januari lepas, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dan kesihatan dalam pelbagai aspek.

– BERNAMA


Pengarang :