BUDAYARENCANA

Pasca percintaan

Oleh Nasser Mikraj

Saya sebenarnya dilahirkan dari sebatang rokok Dunhill. Tiada apa yang harus kita perbalahkan jika dalam sebatang rokok yang mengandungi 20 mg tar dan 1.5 mg nikotin boleh lahir seorang manusia yang cukup segala sifat pada zahir dan batin. Ya, itulah saya dan saya tidak malu untuk mengakuinya biarpun segala pengakuan saya ini begitu jelas terpesong daripada hakikat kejadian manusia secara alami. Tapi saya beginilah. Saya tidak akan sibuk-sibuk mempersoalkan kun fayakun Tuhan Rabbul Alamin sebagaimana kamu mempersoalkan tindakan kerajaan memberikan elaun RM5,000 sebulan kepada Sasterawan Negara.

Sebagai lelaki yang yang lahir dari sebatang rokok, saya selalu merasakan saya memiliki kemampuan luar biasa. Setiap hari saya membayangkan diri saya terapung-apung di udara seperti chesire cat dalam Alice in Wonderland. Menggelintar di seantero ruang dan menyusupi kuantum seperti Antman atau menyerupai sesiapa saja seperti Mystique dalam X-Men. Namun, bayangan itu kekal sebagai bayangan kerana saya sendiri belum pernah mencubanya.

Oh ya, saya sebenarnya tinggal dalam sebuah rumah yang lengkap dengan segala perabot, tandas, katil spring Dunlop, penghawa dingin jenama York serta televisyen dengan akaun netflix percuma juga kemudahan internet home fibre tanpa kuota maksimum. Setiap hari saya berlalu tanpa memikirkan bil atau cukai apa yang perlu dibayar. Saya bebas mencungkil cagu pada ibu jari kaki sambil tergelak membaca rungutan demi rungutan warga maya di laman sosial tentang betapa teruknya GST/SST melayani kehidupan mereka. Saya juga bebas makan dan minum di mana-mana premis makanan mewah. Di rumah, saya tidak mempunyai alamari pakaian kerana saya bebas mengambil baju di mana-mana butik sebelum masuk ke suite mewah di mana-mana hotel lima bintang hanya untuk mandi dan menukar pakaian. Semuanya adalah percuma. Ya, saya ulangi, semuanya adalah percuma tuan-tuan dan puan-puan!

Namun, segalanya berubah ketika suatu pagi, pintu rumah yang saya diami telah diketuk dengan kasar oleh seorang wanita berambut blonde, berkaca mata dan memakai sut hitam. Tiada sesi perkenalan antara kami melainkan dia berlalu pergi begitu sahaja selepas mengacukan pistol amaran, “Saya perempuan yang dilahirkan dari pemetik api, bila-bila masa saja bisa membakarmu” tepat di dahi saya. Sejak itu saya mula dibayangi ketakutan. Gambaran perempuan yang mengaku dilahirkan dari pemetik api galak menumbuk selera dan menendang tidur saya apabila secara tiba-tiba satu persatu keistimewaan yang saya miliki ditarik semula. Saya mula dilarang mendekati sebarang premis makanan, dituduh menjadi penyebab kematian dan dicanang hampir setaraf dengan serangga perosak yang memudaratkan. Entah atas alasan apa, perempuan pemetik api juga sudah kerapkali muncul di ranah media dan mula menghasut agar saya seharusnya difatwakan haram dalam masyarakat.

Saya mula berisolasi dan melihat sendiri bagaimana rakusnya cukai membaham kehidupan saya. Selepas kemudahan internet dimatikan, saya dihalau keluar dari rumah dan menjadi gelandangan di jalanan. Setiap hari yang saya lalui mula menjadi gelanggang tinju, digasak di parlimen, dibelasah di kementerian sebelum didagangkan di toko-toko kapitalis mengikut jenama namun menjadi banduan di dalam penjara sistem pusingan-U kerajaan. Perlahan-lahan saya mula menternak dendam terhadap perempuan dari pemetik api. Saya harus membuktikan bahawa saya tidak bersalah dan apa-apa yang kotor dilemparkan terhadap saya adalah sangat tidak berasas. Saya harus memberontak!

Saya mulai mengumpul pengikut dalam kalangan lelaki-lelaki sunyi, perempuan-perempuan depresi dan mereka yang membuak-buak jiwa mudanya. Di sebuah kilang usang, kami merencana strategi. Pada hari kejadian, setepatnya pada hari cuti umum sempena penyatuan negara, lelaki-lelaki sunyi mula memberontak di sekolah sebelum merompak segala peruntukan belanjawan untuk pendidikan tinggi. Perempuan-perempuan depresi mula melalak di jalanan, merempuh dan merobohkan segala tol dan membakar semua stesen minyak. Mereka yang membuak-buak jiwa mudanya mula memenuhkan parlimen, media-media sosial dan akhbar-akhbar dengan perbuatan-perbuatan sumbang dan salah laku menteri.

Di tengah-tengah kekacauan, perempuan dari pemetik api muncul dan melutut di hadapan saya. Wajahnya semak dengan kerisauan. “Kita tidak seharusnya bermusuh. Rokok tidak akan marak tanpa pemetik api. Kita seharusnya saling memerlukan!” Entah bagaimana saya terpujuk, kata-kata itu menjadi sesuatu yang lain, perlahan-lahan memanjat hati saya, menjarah segala perasaan. Saya melihat dendam dan segala hasrat buruk terhadap perempuan dari pemetik api, melompat keluar dari dada dan berlari lintang-pukang ke jalanan sebelum saya berharap ia akan ditabrak oleh mana-mana jentera berat. Ah, malu untuk saya katakan, tapi saya telah jatuh cinta!

Percintaan kami terjalin hanya atas dasar kami saling memerlukan. Saya mula berasakan bahagia adalah sahabat saya. Hari-hari yang saya lalui kembali menjadi ekslusif. Saya didatangi oleh YB, dilawati golongan vip, kembali duduk makan-minum di premis-premis mewah. Percintaan kami tiba-tiba sahaja menjadi sesuatu yang menguntungkan negara sebelum satu sore yang sendu, perempuan dari pemetik api tiba-tiba sahaja menghilangkan diri. Dia cuma muncul kembali sebulan kemudian di parlimen dan mencadangkan agar saya dihapuskan demi kelangsungan kehidupan berkualiti modal insan negara. Saya dihambat kekecewaan dan mula melarikan diri ke hutan negara jiran. Dengan amarah yang marak, saya membakar diri saya dan percintaan kami juga segala kepalsuan kapitalis-oportunis yang tidak pernah rentung.


Pengarang :