BUDAYARENCANA

Pasta kasanova

Oleh An Nasaie

Pasta sampai ketika kau dan si dia berbual tentang kolej. Kau dan si dia mula menjamu selera. “Apa tadi you tanya?” Kau mengulang semula soalan. “You study dekat kolej macam mana sayang? Okey?” Dia cakap semua okey, minggu depan study week. “You boleh study rumah I, nak?” Kau pelawa. Dia balas “Sambil Netflix?” Kau tolak, “Ha Ha no, no, no, tak boleh, you kena study”. Si dia memuncung. Perbualan jeda seketika, pelayan menyapa, beritahu ada orang menunggunya di luar. Kau pandang luar restoran. Dari balik cermin restoran ada seorang lelaki berdiri. “Siapa?” Tanya kau pada pelayan. Dia cakap ada pesanan, ujar pelayan itu ringkas. Kau senyap sekejap. Kau pandang si dia, Tunggu kejap ya, sayang. Si dia angguk.

Kau menuju ke luar. “Ya encik?” Kau santuni lelaki berjaket coklat itu. “Boleh borak kejap?” Lelaki itu menyantun kembali. “Pasal apa tu, encik?” Kau tenang. “Adalah, jom.” Lelaki itu memberi isyarat wajah tanda mengajak. “Tapi pasal apa? Siapa encik?” Lelaki itu merapat pada kau dan mula memegang bahu. “Datin kirim salam,” dia membisik di telinga kau. Berderau belakang leher kau. Bahu kau dipaut. Dia gelak, “kita borak la dulu ya”. Tiga orang lelaki menunggu di hujung kaki lima. Jahanam aku, bisik kau. Tanpa berpaling ke belakang, kau siku perut lelaki itu. Lelaki itu tertunduk, kau lari mencari arah. Tiga lelaki yang menunggu di hujung kaki lima mengejar. Kau lintas jalan. Sebuah kereta brek mengejut. “Celaka!” Pemandu kereta mencela kau. Kau tak peduli kecuali lari, melorong ke bangunan sebelah. Mereka mengejar dan berpecah. Kau masuk ke dalam kedai makan dan keluar ikut pintu belakang. Kau dikepung. Pantas masuk ke kiri. Lorong belakang kedai. Tapi kau tak cukup laju. Kau ditendang dari belakang. Terjelepok terseret tar jalan. Belum sempat bangun perut ditendang. Meringkuk menahan sakit. Pipi kiri ditumbuk. Pecah mulut. Bersembur darah. Terbaring. Kepala pinau. Pandangan kabur. Satu lagi tumbukan. Mata bengkak. Sebelah kiri tak dapat buka. Tiga lelaki membetulkan jaket masing-masing. Seluk poket dan ambik wallet kau. Keluarkan not seratus lima keping. Wallet dibaling ke atas perut seraya ditendang lagi. Mengaduh sakit mencari nafas. Terbaring tak mampu bangun.

Di lorong yang samar cahaya. Bau busuk air longkang, sampah yang melimpah. Mata memandang langit hitam…
…yang mula membentuk ingatan. Lalu menjadi imej lampau…
…Kau bangun pagi berpelukan dengan seorang gadis. Kau cium bahunya dan merapatkan muka pada belakang rambutnya yang berwarna biji buah setar. Si gadis merengek. Berpelukan kala langit biru pasca Subuh. Kau usap rambut paras lehernya. Bau Lavenda menyapa rongga. Hujung minggu, di atas katil, membaca majalah-merokok-bermalasan-bergurau senda-menyanyi-melihat si gadis melompat-lompat. Tengah hari kau memasak – si gadis mengemas – makan – menonton tv.

Semasa menonton tv bersama si gadis, fon bergetar. Skrin terpapar You have 9 missed call. Terpapar nama Datin. Kau buka Telegram, lima mesej dari dia. You – Malam ni nak jumpa – Tempat biasa – I rindu – Nak you. Kau simpan fon dalam saku seluar. Si gadis bertanya siapa? “Kawan I, dia nak jumpa nak kenalkan I dengan satu kawan ni, dengar macam nak bagi projek,” kau balas. “Oh, okey”, si gadis tak sambung bertanya dan terus fokus menonton TV. Malam ni I keluar, kata kau. Si gadis balas, okey, lagipun Tina balik malam ni. Kau balas okey. Kau teringat waktu bermesra dengan si gadis di sofa ini, teman serumahnya itu balik dan bising. Nak buat maksiat kat tempat lain la! Bentak kawan serumahnya.

Malam itu kau keluar. Berjumpa dengan Datin. Kau naik tingkat 10. No bilik 1010. Pintu dibuka lepas kau tekan loceng dua kali. Datin mahu berintiman. Kerana penat kau menolak dan cuba ajak minum. Datin cuba mengoda dan memeluk kau. Bau, bau perempuan dari badan kau. Datin marah dan kau cuba tenangkan. “You dengan perempuan mana ni?” Datin menggila. Dia baling kerusi solek. Tangan kau sakit terkena bucu kerusi. Terasa tercabar. Kau tolak Datin hingga tercampak ke tepi almari. Kau cekik dan jerit, “You tu apa beza? Curang dengan Datuk! Dasar betina gersang!” Kau mahu menamparnya tapi waras kau menyekat. Jangan. Kau blah. Keluar dari bilik. Sebelum keluar kau tengok purse atas meja. Buka dan ambil beberapa not seratus.

Turun bawah, fon bergetar. Nama Alis terpapar pada skrin. Kau jawab. Kau menyapa , Hi – I dekat bandar – Miss you too – You nak belanja ke? – Ha ha – Pasta Kampung Baru – okey – pukul berapa? – I free dalam pukul sembilan malam – okey, see you. Kau parkir kereta jauh sikit dari kedai. Rambut kau betulkan guna cermin pandang belakang. Kau keluar kereta. Tengok jam. Lima minit sebelum sembilan malam. Kau tunggu depan restoran. Sambil tunggu kau bakar rokok. Sepuluh minit baru si dia sampai dan ucap sorry beberapa kali. Kau cakap It’s okey, I faham kawasan ni memang selalu jammed. Kau buka pintu untuk si dia. Menuju meja yang kosong. Kau memuji rambut hitam lagi panjangnya. Si dia tersipu malu. Pelayan sampai ke meja bawa buku menu. Tanpa buka menu, kau terus pesan, si dia menurut. Sambil menunggu, kau berbual dan bertanya, “Study dekat kolej macam mana sayang?” Belum sempat si dia balas, pelayan mendekati meja mereka dengan dua pinggan pasta.


Pengarang :