Selangorkini
Sheila Sharon memberi ceramah bertajuk Unit Penguatkuasaan Akta Penguatkuasaan 757 (Aspek Jenayah) pada Program Pemberdayaan Komuniti Ke Arah kehidupan Bandar Mampan di Perumahan Strata Bertingkat di Auditorium MBPJ, di Petaling Jaya pada 30 November 2019.
AGENSI SELANGOR

Pastikan kerani, pengurus bangunan berintergriti

PETALING JAYA, 30 NOV: Ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan penduduk kediaman bangunan berstrata disaran mengikuti beberapa panduan bagi mengurangkan risiko penyelewengan yuran penyelenggaraan yang dibayar mereka.

Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Sheila Sharon berkata, antaranya JMB harus menyiasat latar belakang individu yang akan dilantik sebagai pengurus bangunan dan kerani kutipan yuran penyelenggaraan.

“Dua pihak atau individu ini paling terdedah dengan penyelewengan dana JMB kerana kerani berkenaan biasanya bertugas sendirian di pejabat tanpa pemantauan sesiapa dan begitu juga dengan pengurus bangunan.

“JMB perlu mencari individu yang berkredibiliti dan berintergriti tinggi kerana ada juga JMB yang melantik individu luar atau yang mereka sendiri tidak tahu latar belakangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah bertajuk Unit Penguatkuasaan Akta Penguatkuasaan 757 (Aspek Jenayah) pada Program Pemberdayaan Komuniti Ke Arah kehidupan Bandar Mampan di Perumahan Strata Bertingkat di Auditorium MBPJ, di sini, hari ini.

Sheila berkata, pihak JMB juga perlu melantik sekurang-kurangnya dua orang dalam kalangan Ahli Jawatankuasa JMB untuk mengendalikan urusan keluar masuk wang akaun bank.

Katanya, selain itu dana yang dikumpul perlu direkodkan dan diminitkan dalam semua mesyuarat.

Manakala penduduk yang membuat bayaran pula perlu memastikan resit diterima mempunyai nama penerima, nombor pengenalan diri, cop rasmi, bernombor siri dan bertanda tangan.

“Walaupun kami mampu menyelesaikan kes dengan pelbagai kaedah canggih misalnya mengesan panggilan telefon orang disyaki tetapi mencegah jauh lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Program Pemberdayaan Komuniti Ke Arah kehidupan Bandar Mampan di Perumahan Strata Bertingkat yang dihadiri oleh wakil JMB bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dibarisi beberapa panelis pakar dalam bidang masing-masing.

Selain Sheila, panelis lain ialah Pengarah Unit Pesuruhjaya Bangunan MBPJ, Jayanthi Kupusamy; Pegawai Undang-Undang Kanan Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, Mohd Sallehuddin Md Ali dan peguam Kuna Segaran Esq.


Pengarang :