AGENDA SUKANKINI

Pasukan Liga-M wajib buat akuan bersumpah

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan kesemua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia 2020 supaya membuat akuan bersumpah kepada badan induk itu pada 15 Disember ini.

Akuan itu perlu mengisytiharkan sebarang hutang yang masih belum diselesaikan pada musim ini, dan pelan untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan, kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Katanya akuan itu bagi memastikan mereka tidak membawa hutang lama termasuk tunggakan gaji pemain dan tunggakan hutang dengan agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri pada musim ini ke musim depan.

“Kita meminta kesemua pasukan untuk membuat akuan bersumpah bukan bertujuan untuk menghukum pasukan berkenaan, tapi bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang hutang tertunggak, dan pelan untuk mengatasi masalah tunggakan berkenaan.

“Harus diingat semua pasukan harus bertanggungjawab terhadap segala hutang mereka, dan mereka harus bijak mencari jalan untuk menyelesaikan hutang-hutang mereka, dan tidak membawa hutang berkenaan pada musim depan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Stuart memaklumkan kesemua pasukan perlu jujur dan tidak menyembuyikan sebarang hutang tertunggak ketika membuat akuan bersumpah berkenaan, atau berdepan tindakan tegas daripada FAM.

Katanya ia termasuk lesen mereka bakal ditarik balik oleh First Instance Body Pelesenan Kelab badan induk itu pada bila-bila masa.

Stuart mendedahkan kesemua pasukan sudah mendapat lesen kebangsaan daripada First Instance Body Pelesenan Kelab FAM bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga-M 2020, kecuali pasukan Kelantan dan Sarawak yang diberi lesen kebangsaan dengan bersyarat setelah gagal memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan mana-mana pemain untuk terus berjumpa dengan wakil FAM sekiranya ada pasukan yang diwakili pemain berkenaan, masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji mereka pada musim ini.

“Jika wakil pasukan tidak ada akuan bersumpah pada 15 Disember ini, saya meminta pemain terlibat untuk tampil membuat aduan kepada FAM supaya tindakan lanjut boleh diambil.

“Tindakan seperti ini bukanlah perkara baharu kerana ia merupakan peraturan yang sudah lama termaktub dalam FAM,” tegas Stuart.

Sebagai rekod, FAM mengarahkan pentadbir Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memotong tiga mata pasukan Kelantan yang bersaing dalam Liga Premier 2019 pada April lalu.

Keputusan itu setelah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas Pengarah Teknikal KAFA, Alfredo Carlos Gonzalez.

Pada 6 Mac lalu, FIFA menghantar keputusan Jawatankuasa Tatatertibnya supaya KAFA membayar tuntutan daripada Gonzalez, denda FIFA dan kos prosiding yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM235,686 dalam tempoh 30 hari, namun KAFA dilaporkan gagal melunaskan denda berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :