Voon Yong Hui bersama Pasukan Polo Air Malaysia akan pulang awal daripada Sukan SEA 2019 di Filipina. Foto Facebook YONG HUI VOON
AGENDASUKANKINI

Pasukan polo air pulang awal daripada Sukan SEA

NEW CLARK CITY (Filipina), 30 NOV: Sukan SEA Ke-30 di Filipina akan dibuka secara rasmi esok tetapi pasukan polo air lelaki negara bakal menjadi pasukan pertama yang pulang awal ke tanah air.

Mereka tewas 7-14 kepada Indonesia dalam perlawanan ketiga pusingan awal acara itu di Pusat Akuatik New Clark City, di sini, hari ini.

Kekalahan terkini itu meletakkan Malaysia di luar kemampuan untuk sekurang-kurangnya mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi mereka pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pada dua perlawanan awal mereka, Malaysia kalah 5-19 kepada Thailand dan 5-17 kepada juara bertahan Singapura.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan hari ini, Ketua Jurulatih Polo Air negara, Voon Yong Hui berkata, Indonesia yang pada masa ini mendahului kedudukan pusingan awal, berada dalam keadaan terbaik.

“Kami membawa lapan pemain baharu yang kebanyakannya masih menuntut dan mengekalkan empat pemain daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur, dan pada umumnya peluang kita untuk mengekalkan pingat gangsa 2017 adalah amat sukar kerana kami tewas dalam ketiga-tiga perlawanan.

“Berhadapan tuan rumah Ahad ini sudah pasti merupakan tugas sukar, memandangkan pemain mereka bersaiz lebih besar berbanding pemain kita yang agak kecil,” kata Voon.

Beliau berkata, pemain negara akan pulang ke tanah air pada 2 Disember (Isnin) selepas perlawanan menentang Filipina pada Ahad (1 Disember).

Hanya lima pasukan mengambil bahagian dalam polo air lelaki dan dalam acara yang berdasarkan format round robin itu, pingat emas akan menjadi milik pendahulu teratas, perak kepada naib juara, dan gangsa kepada pasukan di tempat ketiga.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam pertandingan wanita, yang hanya disertai tiga negara, juara bertahan Thailand, Singapura dan Filipina.

– BERNAMA


Pengarang :