EXCOSELANGOR

PBT ambil alih kutipan caj plastik 20 sen mulai 1 Januari

SHAH ALAM, 4 NOV: Keputusan mengambil alih kutipan caj 20 sen penggunaan beg plastik melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai 1 Januari tahun hadapan disifatkan sebagai langkah tepat bagi mengelak sikap tidak bertanggungjawab pengusaha pasaraya yang menggunakan kesempatan ke atas pelanggan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata pengusaha pasaraya sebelum ini diberi tempoh yang panjang untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui hasil kutipan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak diendahkan peruncit sehingga menyebabkan majoriti rakyat di Selangor merasakan kutipan caj 20 sen oleh pasaraya kurang berkesan.

“Selain berperanan mengutip caj 20 sen melalui invois, PBT akan menjalankan pemantauan penggunaan beg plastik di pasaraya dan kemasukan bahan itu daripada pengilang yang membekalkannya kepada pasaraya.

“Wang yang dikutip akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan PBT bagi melaksanakan program CSR membabitkan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Kempen Bebas Plastik Peringkat Negeri Selangor 2019 di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata satu kertas kerja akan berhubung agihan caj kutipan itu akan dibentangkan pada minggu hadapan dengan meletakkan satu klausa baharu dalam semua lesen perniagaan PBT.

Katanya, PBT akan melaksanakan kutipan caj itu berdasarkan jumlah beg plastik yang dibeli premis pasar raya berkenaan daripada pengilang.

“Kita akan mewajibkan semua pasaraya di setiap PBT mempunyai sekurang-kurangnya satu notis ‘Kempen Bebas Plastik’ iaitu larangan memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun terhadap premis atau pasaraya yang enggan mematuhi notis kempen berkenaan seperti ditetapkan dalam lesen perniagaan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melaksanakan kempen bermula 1 Januari 2017 selama tujuh hari seminggu berbanding hanya setiap Sabtu sebelumnya.

Sehubungan itu, semua jenis perniagaan tidak dibenarkan menyediakan beg plastik ‘single use’ secara percuma dan menghentikan penggunaan polisterena di semua premis perniagaan termasuk premis makanan.


Pengarang :