Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han menjawab soalan ketika Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOPBTSELANGOR

PBT buat rondaan atasi masalah orang mabuk di tempat awam

SHAH ALAM, 11 NOV: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil langkah dengan menjalankan rondaan pemantauan di lokasi-lokasi awam bagi mengatasi masalah kacau ganggu yang berpunca daripada orang mabuk, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru berkata, PBT melalui anggota penguat kuasa akan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya terhadap individu yang dikesan mengganggu ketenteraman awam.

“Kerajaan Negeri menetapkan satu garis panduan penjualan minuman keras yang diguna pakai di setiap PBT seperti mensyaratkan peniaga meletakkan papan tanda larangan menjual minuman terhadap pembeli di bawah umur 18 tahun.

“Malah, kita menetapkan jarak operasi premis perniagaan minuman keras dari rumah ibadat seperti masjid, tokong, kuil pejabat kerajaan, sekolah, hospital dan kawasan perumahan,” katanya.

Beliau (PAKATAN-Kinrara) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang), di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri mempertimbangkan larangan minum arak di tempat awam pada tengah malam, Sze Han berkata, pihaknya tidak pernah mewujudkan peraturan atau larangan untuk meminum arak di tempat awam seperti yang diwujudkan bagi larangan merokok.

Katanya, ia agak sukar dilaksanakan kecuali terdapat peruntukan undang-undang khusus berhubung perkara itu di peringkat persekutuan atau negeri.

“Bagaimanapun, PBT mensyaratkan waktu operasi penjualan minuman keras mengikut waktu yang dibenarkan iaitu sehingga 9 malam dan mensyaratkan peniaga untuk memastikan pelanggan tidak minum minuman keras di depan premis serta tempat terbuka,” katanya.


Pengarang :