AGENDANASIONAL

Pekeliling mudahkan penjaja, peniaga dapat lesen akan dikeluarkan

ALOR SETAR, 30 NOV: Satu pekeliling mengenai panduan untuk memudahkan cara permohonan lesen perniagaan kepada penjaja dan peniaga kecil akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pekeliling itu akan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas perbincangan kementeriannya bersama kementerian berkenaan sebelum ini berhubung untuk memudahkan permohonan lesen perniagaan.

“Lesen perniagaan kepada penjaja dan peniaga ini sukar diperolehi atas beberapa hal yang berkaitan dengan pentadbiran. Bila hendak mula perniagaan, mereka perlu daftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tapi kalau pada peringkat bawah ada satu lagi pihak yang perlu dipatuhi iaitu PBT.

“Hal berkaitan lesen ini perlu dapatkan kelulusan daripada pihak-pihak yang terlibat. PBT setiap negeri juga menggunakan kaedah yang berbeza dalam isu pemohonan dan perlesenan ini, jadi dengan pekeliling ini ia akan dapat diuruskan dengan baik walaupun mungkin masih ada sedikit kerumitan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat Kebangsaan 2019 yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, bagi sektor penjaja dan peniaga kecil, seramai 1.5 juta peniaga telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM setakat ini dan pihaknya percaya masih ramai penjaja dan peniaga yang belum berbuat demikian.

“Banyak langkah yang telah kita ambil untuk galakkan mereka daftar dengan SSM dan antaranya adalah dengan memansuhkan yuran pendaftaran. Sebelum ini mereka perlu bayar tetapi dengan peruntukkan berjumlah RM10 juta daripada kerajaan ia dapat menampung pemansuhan itu.

“Kita sanggup berkompromi walaupun tidak memperolehi sebarang keuntungan kerana apa yang penting adalah untuk memudahkan urusan pemohonan lesen perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut bersetuju untuk mengadakan semula Anugerah Khas buat penjaja kecil dan penjaja yang kali terakhir diadakan pada 2014 sebagai salah satu tanda penghargaan terhadap golongan itu yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kita dengar pandangan daripada pemimpin dan ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM). Jadi, kita rasa ada baiknya ia dihidupkan semula kerana itu dapat memberi lebih dorongan dan galakkan kepada mereka untuk terus berada dalam bidang itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :