AGENDA JENAYAH

Pelajar tahfiz tujuh tahun mati, tiga remaja ditahan

KUANTAN, 8 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar di Lanchang, Temerloh dekat sini, maut dengan kesan lebam pada tubuhnya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 1 tengah hari, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.

Katanya, polis kini menahan tiga remaja berusia 13 tahun yang juga pelajar di pusat tahfiz itu bagi membantu siasatan kematian mangsa.

“Maklumat awal menyatakan mangsa ditemui dalam keadaan lemah oleh warden wanita pusat tahfiz itu, yang kemudiannya membawa mangsa ke klinik kesihatan tersebut.

“Mangsa difahamkan baru belajar di situ sejak pertengahan Oktober lepas, bersama-sama dengan abang tirinya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Othman berkata, siasatan awal mendapati pusat tahfiz yang beroperasi di sebuah rumah batu mula mengambil pelajar sejak awal tahun ini, dan buat masa ini mempunyai empat pelajar termasuk mangsa.

Pusat tahfiz itu dikendalikan oleh pasangan suami isteri, dengan tenaga pengajarnya ialah suami kepada warden tersebut.

Othman berkata, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh hari ini, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :