Aliff Haiqal Khairol Shah, 19, (kanan) tidak melepaskan peluang mempelajari bahasa isyarat yang dikendalikan oleh program Sign On. Diadakan secara percuma pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan, Sign On bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan bahasa isyarat. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Pelajari bahasa isyarat untuk hargai OKU

PETALING JAYA, 28 NOV: “Saya seperti insan tidak berguna. Kakak sendiri pun saya tidak boleh bantu untuk terjemahkan mesej bahasa isyaratnya kepada doktor dan jururawat mengenai kesakitan yang sedang kakak alami.

“Ini kerana kami sekeluarga tidak tahu bahasa isyarat. Keadaan itu menyebabkan kakak saya begitu tertekan kerana kesakitan yang dirasainya tidak dapat dijelaskan kepada orang sekeliling kerana mereka pun tidak faham apa yang ingin disampaikannya.”

Demikian cerita Nurhawa Aina Mohd, 24, mengimbau kembali memori pahit sekitar 2016 semasa kakaknya, Nur Aishah Mohd, 26, Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran dirawat di sebuah hospital di Lembah Klang, akibat kemalangan jalan raya.

Nurhawa Aina Mohd, mula menyedari kepentingan pembelajaran bahasa isyarat selepas insiden kakaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran terlibat dalam kemalangan jalan raya. Foto BERNAMA

Sebelum kejadian, Nur Aishah sedang membonceng motosikal bersama rakannya dalam perjalanan ke tempat kerja. Mereka dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta sehingga menyebabkan kaki kiri Nur Aishah patah dan perlu menjalani pembedahan segera.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, proses rawatan bagi anak ketiga daripada tujuh beradik ini menjadi sukar disebabkan tiada seorang pun daripada ahli keluarganya mahupun kakitangan hospital mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dengan Nur Aishah.

“Dia tidak bisu, boleh bercakap tetapi tidak seperti manusia normal kerana perlu mengambil masa lama untuk bertutur sesuatu perkara kerana struktur ayat dan tatabahasanya tidak jelas. Ada ketikanya, kami pun susah hendak memahami dan minta dia tuliskan.

“Semasa di wad, kakak hanya boleh cakap ‘sakit’ dan tidak mampu untuk menulis. Kosa kata juga terhad memandangkan kakak belajar di sekolah pendidikan khas yang hanya menggunakan bahasa isyarat,” kata Nurhawa Aina kepada Bernama.

Sebagai alternatif segera, doktor dan jururawat menggunakan bahasa tubuh untuk berkomunikasi dengan kakaknya bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan semasa proses rawatan.

“Situasi itu begitu menginsafkan dan benar-benar membuatkan kami sekeluarga sangat sedih. Dari saat itulah, kami mula menyedari betapa pentingnya menguasai bahasa isyarat,” kata penjawat awam ini.

Tidak tahu tempat belajar bahasa isyarat

Hakikatnya, situasi sebegini bukan sahaja berlaku pada anak kelahiran Kuala Berang, Terengganu ini bahkan mungkin ramai yang tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Secara umumnya, bahasa isyarat adalah kaedah komunikasi menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat.

Namun keutamaan pembelajarannya tidak ditekankan dalam kalangan masyarakat normal berbanding mempelajari bahasa-bahasa utama lain seperti Mandarin dan Inggeris.

Ini kerana ramai yang beranggapan bahawa bahasa isyarat tidak penting untuk dipelajari kerana ia hanya bermanfaat bagi komuniti OKU pendengaran dan bisu. Walhal, persepsi ini salah sama sekali.

“Selain insiden itu, saya juga pernah melalui pengalaman menyedihkan iaitu anak kawan kakak yang secara terang-terangan melahirkan rasa kecewa kerana kedua-dua ibu bapanya OKU pendengaran.

“Anaknya normal, umur bawah lima tahun dan tidak tahu bahasa isyarat. Namun, setiap kali anaknya inginkan sesuatu atau kurang sihat, dia tidak tahu bagaimana hendak menzahirkan kepada ibu ayahnya.

“Biasanya, anak itu akan protes dengan menangis atau membuat reaksi muka tetapi tiada respons daripada ibu bapanya,” katanya.

Melihat kedua-dua situasi berkenaan, Nurhawa Aina dan ahli keluarganya terdesak hati dan semangat untuk belajar dan seterusnya menguasai bahasa isyarat.

Namun, semangat yang berkobar-kobar keluarga itu hampir pudar dek kerana kepayahan mencari institusi atau pusat yang menawarkan pembelajaran bahasa isyarat kepada orang dewasa.

Ini kerana peluang untuk mempelajari bahasa itu hanya terhad di sekolah pendidikan khas dan khusus buat OKU bagi kategori pendengaran dan bisu.

“Sudah cuba cari di merata-rata tempat tetapi tidak jumpa. Bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur tetapi di kampung kami di Terengganu pun tidak ada pusat sedemikian rupa.

“Kami sebenarnya sudah hampir berputus asa sehinggalah saya mendapat tahu majikan saya mempelajari bahasa isyarat melalui program dikenali ‘Sign On’,” katanya.

Apa itu program Sign On

Sign on, merupakan program pembelajaran bahasa isyarat khas secara percuma untuk pelbagai lapisan masyarakat yang diasaskan seorang individu OKU pendengaran, Mohd Armi Rusli, 36, yang juga pengajar sejak tahun 2013.

Diadakan pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan, program Sign On yang dijalankan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Orang Kurang Upaya, Bangi ini bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan bahasa isyarat.

Kelas selama dua jam itu mendedahkan modul pembelajaran asas bahasa isyarat seperti nombor, abjad, keluarga, negeri dan sebagainya.

Menurut Nurhawa Aina, beliau mula menyertai program itu pada akhir tahun 2018 dan kini merupakan antara sukarelawan pengajar di program Sign On.

Mohd Armi Rusli mengajar orang ramai bahasa isyarat secara percuma sejak tahun 2013 menerusi program Sign On pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan. Foto BERNAMA

“Modul pembelajarannya adalah sama setiap kali kelas. Bagaimanapun, kerana tekad untuk menguasai bahasa tersebut, saya rajin hadir ke kelas dan akan cuba mencari peluang untuk bertanya pada Cikgu Armi apa-apa yang baharu.

“Dengan cara begini, ia akan membantu saya mempraktikkan bahasa tersebut. Sekarang, tidaklah mahir sangat tetapi sudah boleh faham dan berkomunikasi dengan kakak dan abang (anak kelima) yang juga OKU pendengaran,” katanya.

Berbeza pula buat Mohd Armi, beliau berhasrat untuk melihat masyarakat normal seboleh-bolehnya mampu berkomunikasi bahasa isyarat bagi membentuk komuniti inklusif yang menggalakkan pergaulan serta jalinan hubungan lebih baik antara OKU dan individu normal.

Kerana itulah, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini yang menjalankan perniagaan dalam talian mengambil inisiatif mengadakan kelas bahasa isyarat secara percuma bagi menarik minat masyarakat normal mempelajari bahasa berkenaan.

Semakin mendapat sambutan

“Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bahasa ini semakin meningkat berbanding awal dahulu. Sebelum ini, saya hanya membuka kelas secara peribadi bagi mereka yang berminat. Tetapi, sejak tahun 2017 banyak permintaan untuk mempelajari bahasa tersebut.

“Sambutan bukan sahaja di Kuala Lumpur bahkan kami juga pernah mengadakan kelas ini di Sarawak, Melaka,” katanya sambil menjelaskan Sign On bukanlah badan bukan kerajaan (NGO) tetapi hanyalah kumpulan terdiri daripada sukarelawan pengajar.

Menariknya, Sign On yang bermula dengan hanya beliau seorang kini mempunyai lebih daripada 200 sukarelawan yang merupakan bekas anak didiknya dengan setiap daripada mereka yang mempunyai kelapangan akan turut serta membantunya dalam kelas.

“Saya sebenanrya berada dalam dua dunia. Satu, saya faham situasi orang normal kerana walaupun OKU pendengaran tetapi saya tetap boleh dengar (melalui alat pendengaran).

“Satu lagi, saya faham dunia orang pekak yang susah hendak bercakap atau dengar. Mereka ini rasa dipinggirkan, sukar untuk meminta pertolongan apabila orang tidak faham bahasa isyarat.

“Kerana itulah, pentingnya memahami bahasa isyarat. Belajar asas bahasa isyarat pun sudah cukup kerana ia satu penghargaan buat golongan ini,” kata Mohd Armi Rusli mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan sempena Hari Orang Kurang Upaya Sedunia yang disambut pada 3 Disember

BERNAMA


Pengarang :