Foto Instagram @ehfanibrahimofficial
RENCANAWAWANCARA

Pelikat hipster, plihan jejaka masa kini

Dahulu kain pelikat dipakai secara meluas oleh masyarakat Melayu, terutama kaum lelaki ketika menunaikan solat di masjid mahupun surau selain berfungsi sebagai persalinan kepada tetamu yang bertandang ke rumah.

Namun, tidak keterlaluan jika penulis katakan pemakaian ‘kain sarung’ dilihat kurang mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda masa kini, malahan ada juga yang tidak tahu bagaimana cara memakainya.

Dalam erti kata lain, pakaian tradisi ini kian dipinggirkan dan hanya menjadi pilihan segelintir lelaki yang majoritinya golongan berusia dek peralihan fesyen yang bergerak semakin pantas dari semasa ke semasa.

Senario ini mendorong lebih ramai pereka fesyen di luar sana untuk mencipta helaian berbeza yang bercirikan ‘trendy’ demi memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan.

Tidak terkecuali, jenama Ehfan Ibrahim yang sudah berada di pasaran dalam talian sejak beberapa tahun lalu tampil mempertaruhkan seluar sarung pelikat potongan ‘slim fit’ khusus buat jejaka yang lebih terbuka kepada budaya pemakaian hipster dan moden.

Bukan sahaja nampak moden pada ciri rekaannya, bahkan kombinasi seluar dan kain pelikat ini menjadi alternatif terbaharu kepada remaja yang mahu memakai kain pelekat tetapi pada masa sama kelihatan praktikal serta berbeza dari sebelumnya.

Jujurnya, tidak ramai pereka fesyen yang berani menampilkan koleksi dengan sentuhan baharu kerana dikhuatiri mengganggu nilai estetika dan warisan tradisionalnya.

Bagaimanapun, enggan terikat dengan konsep kain pelikat lama, pereka dan pengasasnya, Mohd Ehfan Ibrahim, 33, berkata, idea memanipulasi kain sarung pelikat menjadi sesuatu yang lebih ‘stylo’ tercetus apabila melihat ramai remaja di luar sana sukakan kelainan setiap kali berfesyen.

Katanya, dia juga sering melihat golongan lelaki ke masjid atau surau yang membawa kain pelikat berasingan untuk digunakan bagi tujuan beribadah dan akan menukar semula selepas itu.

“Tidak ramai sebenarnya dalam kalangan remaja kita hari ini yang gemar memakai kain pelikat, sebaliknya mereka lebih cenderung memakai seluar dan rentetan itu kami ciptakan ‘slim fit pelikat pants’ yang menggabungkan pelikat serta seluar.

“Tambahan pula, kain pelikat tiada poket dan agak besar jika dipakai sehingga membuatkan mereka kurang selesa kerana tiada ruang untuk menyimpan barangan kecil yang mereka bawa seperti telefon bimbit serta dompet.

“Jadi, saya tekad mencipta kelainan dengan menghasilkan rekaan seluar pelikat gaya terkini dan memberi fokus terhadap remaja yang sukakan saiz berukuran ‘slim fit’ supaya dapat dikomersialkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Material kapas oxford 

Kata pensyarah di sebuah universiti awam di Kuala Terengganu itu, dia menggunakan material kapas oxford untuk menghasilkan seluar berkenaan.

Selain itu, katanya, beberapa faktor lain diambil kira seperti keadaan cuaca di negara ini dan kesesuaian bentuk seluar pelekat terhadap si pemakai.

“Saya buat pola (pattern), cari sampel dan material, pendek kata banyak prototaip yang digunakan. Jadi, kain jenis oxford digunakan sebab tidak mudah berkedut tidak terlalu tebal serta senang untuk digosok.

“Ciptaan ‘slim fit’ ini akan membuatkan si pemakai nampak lebih kemas sebab ada poket di bahagian kanan seluar dan getah di bahagian pinggang yang akan memudahkan pelanggan untuk menyarungkan seluar ini kerana pinggangnya yang mudah untuk dilaraskan.

Ehfan berkata, seluar pelikat yang didatangkan khas dengan warna hitam itu bukan sahaja boleh digayakan dengan baju-T dan kurta, sebaliknya pemakai boleh menyuai padan dengan pelbagai pakaian mengikut personaliti mereka.

“Rekaan ini bukan hanya dikhususkan kepada lelaki, tetapi boleh dipakai oleh wanita memandangkan seluar ini pernah digayakan ramai peminat fesyen sewaktu menonton Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) tahun lalu.

“Ia menjadikan seluar ini berada di kelas tersendiri kerana sudah dibawa ke mana-mana sahaja, khasnya ke acara peragaan fesyen,” katanya yang juga graduan jurusan seni reka fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Reaksi positif pembeli 

Menjadikan perniagaan dalam talian sebagai kaedah menjana pendapatan sampingan, Ehfan berkata, permintaan pembeli terhadap seluar pelikat setakat ini agak memberangsangkan, khususnya menjelang lebaran.

Katanya, hampir kebanyakan pelanggan yang membuat pembelian menerusi laman Instagram berpuas hati dengan rekaan dan kualiti yang dihasilkan.

“Sambutan paling luar biasa adalah setiap kali Ramadan dan Festival Raya, namun permintaan pada hari biasa sentiasa ada, cuma kuantiti tidak sebanyak bulan puasa.

“Lazimnya, setiap kali tempahan masuk kami akan ubah (alter) mengikut labuh yang dikehendaki pelanggan, selepas itu kami akan buat saiz seluar, ubah, gosok dan membuat penghantaran,” katanya yang mengendalikan perniagaan itu bersama sembilan pekerja.

Pada masa sama, Ehfan berkata, dia juga sedang merancang untuk mengeluarkan seluar pelikat ‘slim fit’ daripada kepelbagaian warna dan corak memandangkan penerimaan golongan muda dalam berfesyen semakin positif.

“Apabila melihat seluar pelikat disarung pembeli, kami berasakan ia sudah melangkah ke tahap lebih tinggi kerana ada yang menggayakannya ke pantai, acara makan malam termasuk ke luar negara dan majlis besar lain.

“Bagaimanapun, buat masa ini perancangan untuk mengeluarkan warna berlainan selain hitam masih dalam tinjauan kami lagi,” katanya.

Hadir dalam tiga saiz kesemuanya iaitu S, M dan L, panjang atau labuh seluar pelikat ini boleh dibuat mengikut kehendak pelanggan sendiri.

Pembeli boleh mendapatkannya pada harga mampu milik serendah RM90 sehelai melalui aplikasi Whatsapp di 019-2428830 atau kunjungi laman rasmi Instagram @ehfanibrahimofficial.


Pengarang :