Dato’ Teng Chang Khim melawat gerai pameran ketika Program Keterlibatan SIRIM-Industri di Ibu Pejabat SIRIM, Shah Alam pada 13 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Pemain industri perlu rebut kepakaran teknologi SIRIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Pemain industri dan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini digesa mengikuti perkembangan teknologi serta aplikasi ditawar SIRIM.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata langkah itu bagi membantu meningkatkan produktiviti.

Katanya untuk kekal relevan syarikat perlu melabur dalam tiga bidang utama iaitu automasi, bakat mahir dan peningkatan kemahiran serta inovasi.

“SIRIM memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat pembangunan perindustrian negeri melalui peningkatan kemahiran dan pembangunan modal insan.

“Malah, Kerajaan Persekutuan juga sudah memperuntukkan RM210 juta bermula tahun ini hingga 2021 untuk menyokong peralihan dan perpindahan ke revolusi industri 4.0 (IR4.0),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Keterlibatan SIRIM-Industri di Auditorium Dato’ Yahaya Ahmad, SIRIM, Seksyen 2, di sini hari ini.

Chang Khim turut memuji program anjuran SIRIM yang menekankan kepada kepentingan penyelidikan dan pembangunan, pengurusan tenaga, kualiti, latihan, pengujian serta pensijilan.

Katanya SIRIM yang dilantik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertindak sebagai salah sebuah agensi untuk melaksanakan penilaian kesediaan ke arah IR4.0.

“Justeru, pemain industri digalak menyertai program ini dan bekerjasama dengan SIRIM dan rakan kongsinya, sekali gus memberi maklum balas kepada agensi terbabit untuk penambahbaikan supaya dapat berkhidmat lebih baik kepada pelanggannya,” katanya.

Selain MITI, program itu turut mendapat kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Persekutuan Pekilang Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, MPC, Machinery & Engineering Industries Federation, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Lebih 200 wakil dari agensi kerajaan, persatuan industri dan usahawan di Selangor menyertai program bertemakan “Kelestarian Perniagaan dalam Pasaran yang Mencabar” itu.


Pengarang :