Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pembangunan kokurikulum penting cungkil potensi murid

KOTA KINABALU, 3 NOV: Pentadbir sekolah perlu merancang pembangunan kokurikulum secara teliti dengan mengambil kaedah menyeluruh bagi membolehkan segala bakat dan potensi murid dapat dibangunkan dengan berkesan.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin berkata, terdapat anak kurang dalam akademik tetapi mempunyai bakat semula jadi yang tinggi dalam seni.

“Kita perlu ingat bahawa sekolah bukan hanya tempat murid belajar untuk berjaya dalam peperiksaan tetapi sekolah juga tempat mengembangkan bakat mereka,” katanya ketika merasmi dan menutup Karnival Kesenian Murid peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Penyelarasan dan Pengoperasian Dasar Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Suhaimi Sun Abdullah.

Karnival tiga hari itu berakhir hari ini disertai 19 sekolah mewakili negeri dan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Amin berkata, penganjuran karnival kesenian itu antara usaha kementerian pendidikan mengetengahkan bakat semula jadi murid, yang akan melahirkan generasi pewaris kesenian anak bangsa yang memiliki semangat perpaduan dan kekitaan.

– BERNAMA


Pengarang :