Ng Sze Han semasa mempengerusikan Sesi Dialog Program PSPKTK, di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh,26 November 2019.
EXCOSELANGOR

Pemilik kilang, tanah digesa sertai program pemutihan – EXCO

SUNGAI BULOH, 26 NOV: Pemilik tanah dan pengusaha kilang di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diberi tempoh setahun untuk memulihkan atau membuat permohonan tukar kategori syarat tanah, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru berkata, tempoh itu berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun hadapan di bawah program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (PSPKTK).

Katanya, dasar baharu program berkenaan membabitkan dua peringkat pelaksanaan iaitu tindakan penguatkuasaan dan tempoh pemutihan serta penawaran insentif.

“Sungai Buloh (misalnya) merupakan kawasan paling kritikal memandangkan ia satu kawasan perindustrian yang sangat besar iaitu mempunyai lebih 1,000 kilang.

“Sehubungan itu, saya menyeru pengusaha kilang mengambil bahagian dan jangan lepaskan peluang melalui program PSPKTK ini.

“Jika pengusaha kilang dapat mengemukakan permohonan, maka kami dapat membantu mereka untuk memutihkan kilang tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Sesi Dialog Program PSPKTK, di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan; Timbalan Setiausaha Operasi MBSA, Ir Cheremi Tarman dan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Shatiri Mansor.

Sementara itu, Mohd Rashidi berkata, pihaknya menubuhkan sebuah Pasukan Tindakan Khas (Task Force) bagi menyelaras dan menjalankan bancian terkini terhadap kilang tanpa kebenaran yang dibina atau beroperasi sebelum 29 Ogos lalu.

Sehingga kini, katanya, pihaknya mengenal pasti sejumlah 1,245 kilang tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran itu yang memerlukan permohonan tukar kategori syarat tanah.

“Jadi, pasukan khas ini berperanan memberi penerangan dan hebahan berhubung program itu kepada pengusaha dan pemilik kilang, selain menyelaras pengeluaran notis secara pentadbiran mengikut peruntukan undang-undang.

“Mereka akan melaporkan segala tindakan yang dijalankan kepada satu Jawatankuasa Khas PSPKTK di peringkat pihak berkuasa tempatan ini.

“Malah, kita akan mengambil tindakan perobohan terhadap pemilik berdaftar tanah dan pengusaha kilang tanpa kebenaran yang enggan menyertai program pematuhan ini,” katanya.


Pengarang :