AGENDANASIONAL

Pemukiman ADMM: Malaysia kukuh kerjasama pertahanan

BANGKOK, 18 NOV: Jadual Menteri Pertahanan Mohamad Sabu semasa Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM+ ke-6 di sini semalam, padat dengan mesyuarat dan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan.

Mohamad dan rakan sejawatannya dari New Zealand, Ron Mark bertemu selama kira-kira 30 minit dan membincangkan pelbagai isu termasuk usaha untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan.

Menerusi akaun Twitternya, Mohamad berkata, Malaysia dan New Zealand menyatakan komitmen dalam hubungan dua hala dan pelbagai hala terutama mengenai Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Menurutnya, mereka juga membincangkan mengenai perubahan iklim dan keganasan serta kesannya terhadap persekitaran keselamatan yang sentiasa berubah.

Mohamad kemudiannya bertemu rakan sejawatannya dari China, Wei Fenghe dan semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala, khususnya untuk mengadakan lebih banyak kerjasama pertahanan praktikal.

Terdahulu, Mohamad dan rakan-rakan sejawatan ASEAN yang lain menghadiri mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China dan antara isu-isu yang dibincangkan termasuk pertikaian Laut China Selatan dan latihan maritim.

“ASEAN meminta semua supaya menghormati Kod Tatalaku… China bersetuju untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam menangani pertikaian,” katanya.

Beliau juga menghadiri mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun yang dihoskan oleh Thailand dan Jepun.

Dalam Twitternya, Mohamad berkata, beliau menyampaikan pandangan Malaysia mengenai pelaksanaan Wawasan Vientiane – Inisiatif Kerjasama Inisiatif Pertahanan Jepun dengan ASEAN mengenai keselamatan maritim, Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dan Keselamatan Siber dan kerjasama pertahanan masa depan Jepun-ASEAN.

Beliau turut menghadiri mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan dan Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper.

Mesyuarat membincangkan kerjasama dan perkongsian maklumat di bidang termasuk keselamatan maritim, menangani keganasan dan Semenanjung Korea.

– BERNAMA


Pengarang :