Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad bergambar pada Majlis Pengisytiharan keputusan peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) peringkat negeri Selangor tahun 2019 dan pelancaran Modul Pemberdayaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan teknologi (MITS) Negeri Selangor 2019 di -Dewan Syarahan Masjid Negeri, Shah Alam. 20 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Pencapaian keseluruhan PSRA 2019 merosot 2.77 peratus

SHAH ALAM, 20 NOV: Pencapaian Peratus Kelulusan Keseluruhan bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2019 merosot 2.77 peratus berbanding tahun lalu.

Keputusan itu diumumkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, pencapaian peratus itu adalah 90.13 peratus berbanding 92.9 peratus tahun lalu.

PSRA 2019 menyaksikan seramai 40,558 calon berdaftar sementara 39,919 calon iaitu 98.2 peratus hadir menduduki peperiksaan.

Jumlah Pusat Peperiksaan ialah sebanyak 529 pusat 2019 (519 tahun 2018) , membabitkan 756 buah sekolah (744 tahun 2018).

“Daripada jumlah itu, peratus calon yang mendapat pangkat Mumtaz (cemerlang) menurun 4.4 peratus bersamaan 12.0 peratus (4,799 calon) berbanding 16.4 peratus (6,458 calon) pada tahun lalu.

“Bagi calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik), juga menurun 3.6 peratus iaitu 32.1 peratus 12,829 calon) berbanding 35.7 peratus (13,934 calon) pada tahun lalu,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan PSRA Peringkat Negeri Selangor 2019 dan Pelancaran Modul Pemerdayaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab di Masjid Negeri di sini.

Manakala, bagi calon yang mendapat pangkat Jayyid (baik) meningkat 1.3 peratus iaitu, 25.4 peratus (10,123 calon) berbanding 24.1 peratus (9,422 calon) pada tahun lalu.

“Begitu juga calon yang mendapat pangkat Maqbul (lulus) juga meningkat kepada 4.1 peratus iaitu, 20.6 peratus (8,226) calon) berbanding 16.5 peratus (6,486 calon) pada tahun lalu.

“Manakala bilangan calon yang mendapat pangkat Musaadah (perlu bimbingan) meningkat 2.76 peratus iaitu (3942 calon) iaitu 9.87 peratus berbanding 7.11 peratus (2,780 calon), pada tahun sebelumnya,” katanya.


Pengarang :