Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Tuan Ir Izham berucap pada sidang Dewan Negeri Selangor di Dewan Annex pada 6 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pencemaran, kerosakan paip punca utama bekalan air terganggu

SHAH ALAM, 7 NOV: Bekalan air di Selangor sentiasa pada tahap mencukupi namun keadaan itu diburukkan dengan masalah pencemaran dan juga kerosakan paip oleh pihak ketiga.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, kejadian itu menyebabkan timbul persepsi seolah-olah bekalan air di Selangor dalam keadaan tidak cukup.

“Sebenarnya kita terpaksa menghentikan seketika bekalan air hanya disebabkan untuk kerja baik pulih jika berlaku kerosakan paip ataupun pencemaran.

“Walaupun Selangor mempunyai penduduk yang ramai, tetapi bekalan air kita mencukupi,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku, sejak akhir-akhir ini.

Izham berkata, walaupun masalah kerosakan dan pencemaran dilakukan orang lain, namun yang menjadi mangsa ialah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Kecuaian yang dilakukan ialah tanggungjawab orang lain tetapi yang terpaksa menjawab kepada masyarakat ialah Air Selangor, kerana itulah orang beranggapan masalah terbabit datang dari mereka,” katanya.


Pengarang :