EXCOSELANGOR

Pencemaran punca loji rawatan air henti tugas 744 kali

SHAH ALAM, 12 NOV: Loji rawatan air di Selangor terpaksa dihenti tugas sebanyak 744 kali ekoran pencemaran sejak 2008 hingga tahun ini, menyebabkan penyaluran bekalan air terawat kepada pengguna terjejas.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata antara lokasi terlibat ialah Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Semenyih, Sungai Selisek, Ampang Intake, Sungai Bernam dan Sungai Gombak.

“Kerajaan Negeri juga mengenal pasti punca kerja henti tugas termasuk tumpahan minyak dan diesel membabitkan 35 kes, pelepasan ‘effluen’ dari kilang, kawasan perindustrian dan loji kumbahan (51 kes) serta ammonia dan mangenese yang tinggi dalam air mentah (19 kes).

“Dua lagi punca adalah disebabkan peningkatan kekeruhan air mentah semasa hujan lebat kerana kerja tanah tidak terkawal (599 kes) dan lain-lain punca pencemaran ialah 40 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang) pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri bertanggungjawab memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan.

Katanya pelbagai usaha turut diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

“Langkah yang diambil termasuk mewartakan semua tujuh empangan serta 413 sungai di negeri ini bagi melindungi sungai dan rizab daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya,” katanya.


Pengarang :