Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Projek Tebatan Banjir berlangsung di Padang Jawa, Klang pada 26 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pencemaran sungai di Selangor semakin kurang

KLANG, 26 NOV: Peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar menjadi salah satu faktor isu-isu pencemaran sungai semakin berkurangan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara ini terbukti apabila semakin ramai masyarakat berani tampil membuat aduan jika mereka ternampak sebarang aktiviti mencurigakan.

“Secara keseluruhan, jumlah kes pencemaran sungai semakin menurun dari tahun ke tahun tetapi untuk dibenteras sehingga kosong kita terpaksa ambil masa lagi.

“Dalam tempoh setahun dua ini, keprihatinan rakyat juga semakin tinggi kerana beberapa kes yang kita dapat tangani sebelum ini berpunca daripada aduan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Perasmian Penyiapan Projek Cadangan Tebatan Banjir di Jalan Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebelum ini Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar beberapa kali berjaya mengatasi masalah pencemaran sungai apabila berjaya menyekat bahan tercemar daripada memasuki muka sauk loji rawatan air.

Katanya, kejayaan kedua-dua agensi itu selepas menerima aduan orang awam yang nampak aktiviti pencemaran seperti yang berlaku di Sungai Semenyih, Sijangkang, Kuala Langat dan Sungai Selangor sekali gus membolehkan tindakan awal diambil.

“Tidak semua pencemaran yang berlaku mengakibatkan gangguan bekalan air kerana sebenarnya ada banyak kali pencemaran yang kita berjaya atasi sebelum sampai ke muka sauk disebabkan aduan orang awam,” katanya.


Pengarang :