Flat Taman Keramat Permai pernah mengalami keretakan sama pada 26 April lalu, memaksa penghuni di situ dipindahkan ke kawasan lain. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penduduk cemas Flat Taman Keramat Permai retak lagi

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Kira-kira 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai, di sini, hidup dalam ketakutan berikutan kemunculan kesan keretakan yang serius pada bangunan flat itu sejak beberapa hari lalu.

Salah seorang penduduk flat itu, Aripin Enbong, 62, berkata kejadian seumpama itu merupakan kali kedua berlaku pada tahun ini, selepas keretakan pertama dikesan pada April lalu, yang menyaksikan keretakan itu hanya dibaiki dengan tampalan simen.

“Kejadian retak sebelum ini berlaku pada bulan April lepas, namun kesan keretakkan itu hanya ditampal oleh kontraktor yang dilantik oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Kini keretakan baharu mula ketara dalam tempoh dua bulan ini apabila terdapat serpihan simen dilihat tertanggal dan terkena kanak-kanak yang berada di flat itu, tetapi tiada yang mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di taman berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 11.20 pagi tadi dan telah mengerahkan enam anggota dari balai bomba penyelamat Ampang ke lokasi.

“Apabila tiba di lokasi (kami dapati) memang terdapat kesan retakan di bahagian laluan koridor flat itu dari tingkat satu hingga tingkat lima. Pihak kami mengarahkan penduduk flat itu untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengurusan Bencana Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusuf ketika dihubungi berkata perunding keselamatan yang dilantik PKNS mengesahkan bangunan itu berada dalam keadaan selamat untuk diduduki, dan kerja pembaikan akan dijalankan secepat mungkin

Tinjauan Bernama mendapati keretakan berlaku di tempat yang sama sebelum ini, dan ia boleh dilihat jelas menerusi kesan-kesan pembaikan yang dibuat beberapa bulan lepas.

Penduduk yang bimbang dengan keselamatan mereka telah berpindah sementara ke Dewan Serbaguna berhampiran, dan menunggu pihak Unit Pengurusan Bencana Selangor memberikan gambaran sebenar kejadian yang berlaku.

Pada 26 April lalu, penghuni bangunan empat tingkat itu terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, susulan penemuan keretakan di bangunan berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :