ADNSELANGOR

Penduduk disaran pasang bidal jimatkan air

OLEH ALIFF HAIKAL

KLANG, 17 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengagihkan bidal iaitu satu produk baharu bagi menjimatkan air kepada penduduk Pangsapuri Arista, Bandar Parklands, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Huri berkata, pengagihan bidal oleh Syarikat Air Selangor secara percuma itu adalah sempena kempen menjimatkan air di negeri ini.

“Selain kempen menjimatkan air, Kerajaan Negeri pada hari ini juga mahu memberikan penerangan dan penjelasan mengenai inisiatif peduli rakyat.

“Salah satu yang terkandung dalam inisiatif itu ialah pemberian air percuma tetapi dengan cara penjajaran semula bagi mengenal pasti hanya penerima yang benar-benar layak boleh menerima skim air percuma ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih Bandar Parklands DUN Pelabuhan Klang di Padang Awam Pangsapuri Arista.

Hadir sama Ketua Jabatan Perkhidmatan Pengebilan Air Selangor, Yusof Saroji.

Katanya, menerusi penjajaran semula skim air baharu itu, Kerajaan Negeri menetapkan air percuma hanya layak diterima oleh keluarga yang isi pendapatannya RM4,000 dan ke bawah.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang layak menerima air percuma itu perlu memohon sama ada secara atas talian atau mengisi borang.

Sementara itu, Yusof berkata, pada program hari ini, pihaknya turut membuka kaunter pertanyaan dan pendaftaran bagi Skim Air Percuma Selangor untuk penduduk di kawasan tersebut.

Katanya, penduduk juga dinasihat supaya memasang bidal bagi memastikan penggunaan air dapat dijimatkan.

Katanya, ekoran penambahan penduduk, penggunaan air domestik juga sentiasa meningkat dan peningkatan itu meningkatkan kos penyelenggaraan air.

“Pengguna disarankan sentiasa berjimat dan menghargai pemberian air percuma ini untuk manfaat bersama,” katanya.

Pada program itu, penduduk turut disajikan dengan beberapa aktiviti menarik seperti sukaneka, tarik tali dan cabutan bertuah.


Pengarang :