AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penerima Skim Air Darul Ehsan diketahui Mac 2020 – MB

SHAH ALAM, 4 NOV: Senarai penerima Skim Air Darul Ehsan dijangka diketahui menjelang Mac 2020 setelah melalui proses semak silang melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, Kerajaan Negeri menggesa pemohon yang layak membuat permohonan atas talian menerusi laman web www.ssipr.selangor.gov.my atau secara manual dengan mengisi borang bagi memastikan tiada golongan sasar tertinggal dalam menikmati skim terbabit.

“Pendaftaran bermula sejak 30 September dan dijangka berakhir 31 Disember 2019. Proses pendaftaran adalah untuk mengumpul dan mengemas kini semua data permohonan.

“Bermula Januari 2020 kesemua permohonan ini akan diteliti dan barulah kita akan mengetahui senarai penerima yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin berhubung Skim Air Darul Ehsan pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, hasil penjajaran melalui skim berkenaan dijangka akan memberi manfaat kepada 700,000 pemilik akaun berbanding 1.6 juta akaun sedia ada.

Katanya, setakat ini Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM1.8 bilion bagi menampung pembiayaan air percuma 20 meter padu sejak Jun 2008 hingga Ogos 2019.

“Namun melalui Skim Air Darul Ehsan, jumlah pembiayaannya akan berkurangan daripada 180 juta kepada RM96 juta setahun.

“Jadi melalui skim ini juga Kerajaan Negeri dijangka berjaya mengurangkan pembiayaan sebanyak 50 peratus,” katanya.


Pengarang :