Hee Loy Sian
EXCOSELANGOR

Pengusaha ‘bubble tea’ digesa cari alternatif ganti bekas plastik

SHAH ALAM, 7 NOV: Pengusaha minuman ‘bubble tea’ sepatutnya mencari alternatif lain bagi mengantikan bekas plastik berikutan tindakan berkenaan boleh melambatkan usaha Selangor ke arah negeri bebas plastik menjelang 2025.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, kedai seumpama itu kini tumbuh bak cendawan di sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kajang turut menghasilkan lambakan plastik.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan tugas kutipan sampah oleh Pihak Berkuasa Tempatan menjadi sukar.

“Dalam usaha Kerajaan Negeri mengadakan kempen bebas plastik ini, kita mengakui memang ada masalah apabila pengusaha ‘bubble tea’ menjual air minuman dengan jumlah cawan pastik yang sangat banyak.

“Buat masa ini Kerajaan Negeri tiada rancangan untuk menghentikan perniagaan mereka, namun kami akan menjalankan sesi dialog bersama pengusaha supaya membolehkan mereka mengubah konsep perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada 13 Julai lalu, SelangorKini melaporkan Kerajaan Negeri memberi tempoh masa kepada pemilik kedai minuman ‘bubble tea’ untuk menggantikan penggunaan plastik yang dilihat menjadi salah satu penyumbang sampah terbanyak.

Loy Sian turut mengingatkan supaya penguasaha minuman itu tidak hanya memikirkan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Minuman yang digelar ‘bubble tea’ kini menjadi kegilaan peminat khasnya di kalangan remaja mahupun dewasa.

Kegilaan itu turut membolehkan lambakan kedai minuman yang menghidangkan buble dibuka di seluruh negara.

Di media sosial, seorang pengguna facebook berkongsi sekeping gambar di akaun Zero Waste Malaysia dan ianya menjadi tular dengan 2,100 perkongsian.

Gambar itu memaparkan tong sampah yang dipenuhi dengan plastik minuman, dan lebih mengejutkan apabila ianya adalah daripada kedai minuman yang popular dengan ‘bubble tea’.


Pengarang :