Rodziah Ismail bersama Datuk Muez Abd Aziz (kiri) menyempurnakan gimik perasmian sempena Program Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Zon Tengah Tahun 2019 di AEON Big, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penjaja, peniaga kecil penyumbang ekonomi negara

SHAH ALAM, 10 NOV: Penjaja dan peniaga kecil adalah antara kumpulan penting dalam membina ekosistem ekonomi negara, kata EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Katanya permintaan domestik yang kekal berdaya tahan membolehkan perkembangan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka meningkat dari 4.8 kepada 4.9 peratus pada 2020.

“Pada masa sama, rekod rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia menganggarkan seramai 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil didaftarkan.

“Daripada jumlah itu, penjaja bagi kategori makanan dan minuman mendahului dengan 43 peratus, diikuti kategori perkhidmatan iaitu 14 peratus daripada jumlah berdaftar.

“Oleh yang demikian, jangan kita memandang remeh kewujudan masyarakat penjaja dan peniaga kecil di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, pada Majlis Perasmian Penutup Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Zon Tengah 2019 di Aeon Big, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz.

Bagaimanapun, Rodziah berkata prestasi ekonomi dunia yang mencabar memberi kesan terhadap pendapatan penjaja dan peniaga kecil untuk terus berkembang.

Namun, katanya ia tidak bermakna peluang berniaga tertutup kerana menjadi tanggungjawab kerajaan memberi peluang dan tunjuk ajar kepada golongan itu untuk lebih maju.

“Penjaja dan peniaga kecil perlu anjakan paradigma kerana dunia semakin berubah, penjaja dan peniaga kecil yang kreatif serta berpandukan inovasi akan terus bertahan.

“Apa jua hasrat dan perancangan kerajaan, segalanya adalah untuk kebaikan dan kebajikan rakyat, kerajaan pada hari ini amat prihatin dengan pembangunan penjaja dan peniaga kecil secara keseluruhannya,” katanya.

Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Zon Tengah 2019 anjuran KPDNHEP dimeriahkan dengan ruangan pameran serta jualan, sebagai salah satu usaha kerajaan untuk memberi galakan dan meningkatkan budaya keusahwanan dalam kalangan penjaja kecil.


Pengarang :