AGENSISELANGOR

PEPIAS pandang serius isu remaja tidak sekolah

SHAH ALAM, 15 NOV: Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) memandang serius isu kanak-kanak dan remaja yang tidak meneruskan pembelajaran di negeri ini.

Presidennya, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata data dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari baru-baru ini menunjukkan seramai 12,281 kanak-kanak dan remaja tidak bersekolah.

Katanya daripada jumlah itu, 549 remaja didapati tidak minat meneruskan pembelajaran manakala 183 memilih untuk bekerja.

“Melalui pengamatan kasar dan tinjauan lapangan PEPIAS bersama beberapa badan bukan kerajaan lain, antara punca sampingan yang berlaku adalah faktor kemiskinan, masalah keluarga, tidak berwarganegara dan masalah sosial di kawasan sekitar.

“Justeru, PEPIAS mengajak semua pihak untuk meneruskan fokus menggiatkan lagi usaha melanjutkan pelajaran dalam masyarakat setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Fahmi berkata PEPIAS konsisten memberi kesedaran dan pengetahuan asas kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah berhubung kepentingan belajar melalui program advokasi, khidmat sosial serta motivasi.

Katanya terdapat keperluan untuk memperbanyakkan lagi bidang alternatif yang boleh diterokai remaja masa kini antaranya kemahiran vokasional atau IKTISASS dan lain-lain.

“Namun, antara kelemahannya adalah akses atau penyaluran maklumat khusus kepada ibu bapa mahupun masyarakat terhadap bidang alternatif ini.

“Oleh itu, PEPIAS merasakan pentingnya peranan “orang tengah” menghubungkan antara Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat supaya maklumat disampaikan tepat dan mutakhir,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fahmi berkata program motivasi di sekolah dan Perkampungan Menara Gading merupakan platform memberdaya remaja serta membuka ruang juga peluang untuk melanjutkan pendidikan ke tahap seterusnya.

“Akhirnya, dalam mengejar arus industri 4.0 ke arah pembangunan Negeri Pintar, usaha pendidikan harus dipandang serius dan dibangun secara kolektif daripada semua pemegang taruh,” katanya.


Pengarang :