AGENSISELANGOR

PEPIAS sambut baik Belanjawan #Selangor2020

SHAH ALAM, 2 NOV: Jurang kecil antara perbelanjaan pembangunan dan pengurusan dilihat bersesuaian dengan usaha Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025, kata Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin.

Menerusi Belanjawan #Selangor2020, RM1.2 bilion atau 51.44 peratus diperuntukkan bagi belanja mengurus sementara RM1.133 bilion atau 48.56 peratus untuk belanja pembangunan.

Katanya, usaha itu dilihat langkah positif yang dilakukan Kerajaan Negeri menerusi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Pihak kami turut menyambut baik langkah Kerajaan Negeri untuk menghimpunkan mahasiswa Selangor menerusi pengumuman belanjawan berkenaan.

“Pelaksanaan itu dilihat sejajar dengan pergerakan PEPIAS dalam melahirkan mahasiswa yang juga anak Selangor lebih kompeten dan berketerampilan.

“Kami juga telah memulakan inisiatif mengumpulkan mahasiswa dan pelajar dari Selangor melalui program-program yang disebut Perkampungan Menara Gading (PMG) dan Kongres Mahasiswa Selangor (KGMS).

“Hasil melalui program ini, mahasiswa lebih aktif dikampus serta terlibat dalam pergerakan belia di khususnya di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Fahmi Adzha berkata, secara tuntasnya, Belanjawan #Selangor2020 dilihat kepada belanjawan peduli rakyat akan tetapi masih perlu ditambahbaik.

“Antaranya ialah tiada peruntukan kepada Universiti Selangor (UNISEL) Dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang mana merupakan universiti dibawah Kerajaan Negeri.

“Besar harapan PEPIAS agar belanjawan ini dilaksana dan sampai tepat kepada golongan sasaran khususnya kepada generasi muda, mahasiswa dan pelajar-pelajar disekolah,” katanya.


Pengarang :