Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Peralihan kuasa akan dibuat pada masanya – Dr Mahathir

SEPANG, 19 NOV: Peralihan kuasa bagi jawatan perdana menteri akan ditentukan apabila sampai masanya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita belum tahu lagi keadaan negara sekarang ini sama ada bersedia untuk mengalih pentadbiran atau tidak. Bila sampai masanya kita tentukanlah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang menyifatkan kekalahan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebagai referendum terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Pada September lalu, Syed Husin juga mengecam Dr Mahathir kerana tidak menggariskan pelan peralihan kuasa secara jelas.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang turut mengulas kenyataan dibuat beberapa ahli Parlimen PAKATAN yang menyalahkan dirinya sebagai punca kekalahan di PRK Tanjung Piai berkata : “Mungkin saya salah, mana saya boleh tahu”.

Pada PRK Parlimen Tanjung Piai Sabtu lepas, calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi. Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PAKATAN Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PAKATAN semalam dilaporkan berkata bahawa satu perbincangan secara terperinci, serius dan jujur di semua peringkat akan dibuat bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kekalahan pada PRK itu.

-BERNAMA


Pengarang :