BUDAYARENCANA

Percakapan ketika mandi

Oleh Nieyna J

Pagi.

Matahari mula merekahkan siang. Deruan kenderaan yang menindih aspal menyinggah ke daun telinga. Bunyi hon dari kenderaan tidak putus-putus kedengaran. Itu adalah medium bagi orang kota menyapa satu sama lain, proses komunikasi pertama mereka pada awal pagi. Mereka mesra begitu tetapi tidak untuk aku. Percakapan pertama aku bermula ketika mandi.

Badan sentiasa tahu bila dan bagaimana ia harus bangun. Ia automatik tanpa memerlukan bantuan eloktronik contohnya seperti panggilan telefon atau teks dari seorang kekasih. Setiap pagi, tepat pukul enam aku akan terjaga. Anggota badan dan minda mula bergerak secara mobiliti perlahan. Seolah-olah kuntuman bunga yang takut-takut untuk kembang. Menyedari waktu tidak akan menunggu dan aku perlukan lebihan minit semasa mandi, kaki dan tangan dipaksa bangun lantas menolak selimut lalu bangun dari katil.

Pintu bilik mandi ditarik buka. Di dalam kamar ini, tiada apa-apa yang menarik atau lain dari orang lain. Yang berbeza cuma jenama barang mandian dan susun atur yang dipusing, dialih dan ditukar bagi menggantikan kelelahan klise dengan satu nafas baharu.

Pili pemanas air dipusing mengikut arah jam. Air suam merenik turun lalu membasahkan kepala dan seluruh tubuh. Ah, segar lantas mencelikkan sedar. Sabun berwangian Vanilla dipam dua kali dari botol berjenama Watson lalu dioles pada tubuh dan bergerak mendekati cermin. Sengaja aku letakkan sekeping cermin di dalam kamar peribadi ini. Masa mandi ialah waktu yang sebetulnya untuk aku mengenali dan berkomunikasi dengan aku yang sebenar-benarnya aku. Ia terasa begitu dekat dan jujur kerana cermin tidak akan memejamkan mata daripada kebenaran.

Dahulu, di dalam kamar sempit dan basah ini ada sebuah tab mandi. Tab mandi yang dibeli oleh seseorang untukku. Katanya, tab mandi adalah satu ruang selesa untuk aku beristirehat dan berfikir. Juga, satu ruang untuk aku bermalas-malas tanpa dikecam dan diperhatikan. Di dalam tab mandi segala perkara remeh dan bertele-tele menjadi sesuatu yang penting dan serius, juga tempat  dewi Muse mengilhamkan sesuatu. Dan adalah kerana muse, aku mengeluarkan tab mandi dari kamar ini. Tab mandi menjadikan aku biasa. Seperti masyarakat kota yang beristirehat dengan cara yang tidak berkualiti dan membuang masa.

Bagi aku tab mandi mengehadkan ruang untuk kau membebaskan diri. Ia mengurung kau di dalam keselesaan yang mewah tetapi sempit. Kau menikmati kemalasan di dalam daki dan kotoran yang kau sendiri sental dan buang. Kau berlama-lama di dalam keselesaan yang dibuat-dibuat. Kau tidak mencipta selesa kau sendiri tetapi mengharapkan tab mandi itu membuatkan kau selesa.

Sebenarnya aku juga sama. Mengharapkan sesuatu yang orang lain harapkan. Contohnya, tujuan bangun awal pagi adalah kerana kerja dan wang. Bezanya aku bekerja untuk sebuah mimpi iaitu ‘mencari’. Aku tidak mencari mimpi tetapi ‘mencari’ adalah mimpi aku yang belum lagi terlaksana. Semuanya gara-gara aku terbaca sebuah novel bertajuk Dublin karya Wan Nor Azriq yang ada memetik kata dari seorang penulis Cina, Lu Xun.  “Harapan adalah seperti jalan di daerah pedalaman, pada awalnya tidak ada jalan setapak semacam itu, namun sesudah banyak orang berjalan di atasnya, jalan itu pun tercipta.” Aku ingin menjadi orang pertama yang  mencipta jalan selesa dan selamat untuk destinasi yang ingin aku tujui. Tidak ingin berpegang pada mana-mana tali yang rapuh dan berselirat.

Syampu dipicit beberapa kali. Kemudian aku mengoles syampu itu ke rambut. Kadangkala aku terfikir kenapa tidak diciptakan sebuah mesin untuk mencuci rambut? Sebuah mesin dengan kelembutan sepasang tangan seorang pekerja salun. Hanya sepasang tangan itu yang aku izinkan menyentuh dan melakukan apa sahaja di kepalaku. Ia begitu mengasyikkan seperti membaca sebuah puisi. Namun tidak semua puisi berjaya masuk ke ruang paling terdalam dan sunyi. Benar kata T.S.Eliot, satu kesilapan daripada keanehan puisi ialah berusaha mencari emosi baru manusia untuk dilahirkan. Tugas penyair bukan mencari emosi baru tetapi menggunakan emosi biasa untuk mencipta puisi serta dapat melahirkan perasaan yang bukan sebenarnya emosi. Setelah itu barulah aku sedar bahawa puisi bukanlah tempat melepaskan emosi, tetapi tempat melepaskan diri daripada keperibadian. Seperti seorang pekerja salun yang mencuci rambut dengan cermat dan berkemahiran. Dia mencuci seperti biasa namun dapat melahirkan satu perasaan yang tenteram dan nyaman kepada pelanggannya.

Memberus gigi menjadi rutin terakhir mandiku. Setelah siap, aku mengeringkan badan dan bersedia untuk keluar dari bilik air. Namun, keberangkalian adalah perkara yang tidak dapat dielak. Aku sering berasa sebal kerana setelah siap mengeringkan badan dengan tuala, serasa ingin terberak. Jangan ketawa. Ia adalah keberangkalian kita, makhluk organik. Juga menunjukkan yang kita ini ialah hidupan. Apa sahaja yang bernyawa mempunyai keterbatasan dan kekurangan. Itulah yang membezakan kita dengan mesin. Mesin tidak terbatas oleh waktu dan berfungsi berdasarkan apa yang telah disetkan sebelum mereka dilahirkan. Mesin, tuhan mereka adalah kita. Manusia. Dikeluarkan oleh rahim metod dan komputer.

Aku duduk di atas mangkuk tandas dan mula terfikir akan majikanku yang cuba mencipta mesin daripada manusia. Dan yang paling tidak masuk akal, dia pula berasa kecewa dan marah-marah jika mesin yang ingin diciptanya itu mempunyai keinginan seperti dia. Mungkin perempuan pertengahan umur itu terlepas pandang bahawa manusia tidak akan bertuhankan manusia. Apa yang manusia mampu berikan sebagai ganjaran? Sedangkan syurga yang dijanjikan tuhan juga tidak percuma. Entah apa yang difikirkan. Mungkin suatu hari nanti, jika aku menjadi majikan, adakah benda yang sama juga aku akan lakukan?

Flush ditarik. Ah, lega. Aku bangun dan meletakkan komputer riba yang aku gunakan dari tadi untuk menulis monolog ini di atas sinki. Cukuplah setakat ini, percakapan bersama kau dan juga kau. Hanya masa mandi yang aku ada untuk menaip dan cuba menarik pandangan mata kau untuk membaca. Bukankah kita di zaman bit binari menjadi medium untuk kita bersosial? Tidak lagi suara dan bersemuka.

Ia tamat di sini. Sekian.


Pengarang :