AGENSISELANGOR

Perkeso serah manfaat faedah kepada pencarum

SHAH ALAM, 26 NOV: “Kematian itu sukar dijangka dan takdir yang menentu segalanya,” luah Saripah Sidek yang kematian suami 15 November lalu akibat masalah arteri koronari.

Balu kepada Allahyarham Kamal Abu yang meninggal dunia itu mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam kenyataan, Perkeso memaklumkan kematian arwah sebelum 60 tahun yang aktif mencarum Perkeso melayakkan balu dan tiga orang anaknya menerima manfaat faedah melalui Skim Keilatan iaitu Pencen Penakat.

“Allahyarham yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Blok 10 Desa Mentari seorang yang peramah dan sering mengambil berat segala masalah yang dihadapi penduduk di blok berkenaan,” katanya.

Menyingkap detik terakhir bersama Allahyarham, Saripah menceritakan tiada tanda yang dia nampak akan kehilangan suaminya itu.

“Saya sedih kerana sudah tiada lagi teman untuk bersembang dan bergurau namun saya reda,” katanya.

Saripah mengucapkan terima kasih kepada pihak Perkeso kerana membantu memudahkan segala tuntutannya.

Selain faedah itu, Saripah juga layak menerima Faedah Pengurusan Mayat RM2,000 dan manfaat Pencen Penakat seumur hidupnya.

Penyampaian mock cek Faedah Pengurusan Mayat disampaikan oleh Pegawai Khas DUN Seri Setia, Mohd Yusof Mohd Amin dan TimbalanPengarah Perkeso Negeri Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan.


Pengarang :