AGENDANASIONAL

Peruntukan RM30 juta tingkat pelaburan

SHAH ALAM, 1 NOV: Sejumlah RM30 juta diperuntukkan secara keseluruhan untuk aktiviti pengupayaan pelaburan bagi menjadikan Selangor sebagai Paksi Asia Tenggara pada tahun 2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 berkata, Selangor International Business Summit (SIBS) akan diteruskan tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM11 juta bagi mempromosi dan mengukuhkan negeri ini sebagai hab pelaburan serta perdagangan.

Katanya, sidang kemuncak yang dianjurkan tahun ini menarik penyertaan sebanyak 787 pempamer dengan jumlah pengunjung 35,000 orang dan potensi transaksi perdagangan bernilai RM450 juta.

Bagi meneruskan misi promosi pelaburan ke luar negara menerusi Invest Selangor, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM19 juta.

Katanya, selaras dengan trend perkembangan perindustrian di peringkat global yang sedang beralih kepada Industri 4.0, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada lima sektor industri utama iaitu:

* Elektrik & Elektronik
* Peralatan Pengangkutan
* Sains Hayat
* Industri Makanan dan Minuman
* Mesin dan Peralatan

Sementara itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9.7 juta dalam rangka pembangunan industri pelancongan bersempena kempen Tahun Melawat Selangor 2021.

Amirudin berkata fokus turut diberikan terhadap pelancongan mewah (Cruise Tourism) dengan membina Pusat Informasi Pelancongan (TIC) di Boustead Cruise Center (BCC), Klang.

Selain itu, RM2 juta diperuntukkan untuk memperhebat pengiklanan papan iklan pegun dan elektronik di seluruh negara.


Pengarang :