BUDAYARENCANA

Pidato menewaskan waktu

Bermusuhlah dengan waktu
kerana permusuhannya menghidupkanmu
kala hidup dibiusi alpa-alpa
kala nikmat dikepompongi selesa
engkau terlaknat dari jadi rama-rama.

Isytiharkan waktu itu musuhmu
tabiatnya ibarat kuda muda
makin lama engkau biar
makin lama dirinya liar
tahu-tahu, kau perlu perah
seribu bejana peluh buat
penyembuh bencana terlewat.

Waktu – kalau kawan, ia teman paling licik
sedar-sedar kau sayup di belakang randik
waktu – kalau musuh, umpama pencucuh
mengapi-apikan dingin usiamu yang ralit
yang kian lama kian sedikit ( kian sulit).

Atas permusuhan dengan waktulah
aku celorengkan dada akhbar dengan pidatoku
kerana sesamar-samar coretan lebih gegar
dari segencar-gencar ucapan, ingatlah!
waktu tidak tertewas dengan das-das
waktu dikalahkan dek keabadian nafas.

Ayo! Kelarkan waktu sampai jadi balan-balan
kala kau beristirehat, dirinya kepenatan
keliar tercari-cari susuk jasad ternodakan.

Za’im Yusoff,
Pinggiran Mercu UEM


Pengarang :