Sesi bergambar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penjualan Tanah Bernam Jaya antara PKNS dan EEC disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan SUK pada 6 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS-EEC jalin kerjasama bangun tanah Bernam Jaya

SHAH ALAM, 6 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat Eastern Ecotourism City Sdn Bhd (EEC) akan memulakan kolaborasi strategik berskala besar bagi pembangunan tanah di Bernam Jaya berteraskan eko-pelancongan dalam tempoh tujuh tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata projek pembangunan menelan kos sekitar RM4 bilion itu dilaksanakan di atas tanah seluas 3,391 ekar bermula dari Laman 2 hingga 7.

Katanya projek pemangkin kepada pertumbuhan baharu milik PKNS itu meliputi komponen seperti konsep bandar bertema, hospitaliti, perubatan dan perniagaan, selain memuatkan taman tema bertaraf antarabangsa serta ‘ski slope’ berkelas olimpik.

Majlis Menandatangani Perjanjian Penjualan Tanah Bernam Jaya antara PKNS dan EEC disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan SUK pada 6 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita akan menubuhkan satu Syarikat Tujuan Khas (SPV) memandangkan PKNS mempunyai saham sebanyak lima peratus dalam SPV yang akan menentukan komponen mana dimulakan terlebih dahulu.

“Sudah tentu kita akan menguruskan komponen yang mampu menarik ramai pelanggan, khususnya taman tema kerana ia dijangka menggamit pelancong dari serata dunia untuk datang ke Selangor,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Memorandum itu ditandatangani Mohd Azizi dan Presiden EEC, Dato’ Dr Li Wei sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada majlis sama, PKNS turut menerima replika cek pembayaran daripada EEC berjumlah RM164 juta bagi bayaran pertama untuk menggerakkan projek berkenaan.

Penyerahan replika cek Perjanjian Penjualan Tanah Bernam Jaya antara PKNS dan EEC disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan SUK pada 6 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Azizi berkata pembangunan dilaksanakan di Bernam Jaya bakal menjadi pemangkin terhadap aktiviti ekonomi kawasan sekitar, selain mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor di setiap peringkat.

Katanya projek pembangunan di gerbang utara Selangor itu turut memberi nilai tambah kepada pembangunan hartanah di negeri berkenaan.

“Bukan itu sahaja, EEC juga membeli hartanah kita sebanyak 448 unit iaitu 154 unit dalam bentuk lot kedai, manakala bakinya dalam bentuk rumah kediaman,” katanya.

Bernam Jaya terletak di kawasan utara Selangor bersebelahan pekan Tanjung Malim dan dihubungkan dua jalan utama iaitu Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh serta Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).


Pengarang :