Foto Liga Bolasepak Malaysia (MFL)
AGENDASUKANKINI

PKNS FC dan PKNP FC sah sebagai ‘Reserve Team’

SHAH ALAM, 13 NOV: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk menukar status PKNS FC dan PKNP FC sebagai ‘Reserve Team’.

Keputusan itu dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pihaknya turut menerima permohonan daripada PKNS FC dan PKNP FC untuk menamatkan Perjanjian Rakan Kongsi Liga bersama MFL sebelum ini.

“Kelulusan itu secara bersyarat iaitu kedua-dua persatuan negeri tersebut harus memenuhi keperluan untuk layak sebagai ‘Reserve Team’ termasuk aspek kewangan mesti stabil, transisi kontrak PKNS FC dan PKNP FC perlu mengikut peraturan dan kemudahan tempat latihan sebelum status itu berkuat kuasa tahun depan.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima permohonan FAS dan PAFA yang menyatakan bahawa pihak mereka memiliki pelan untuk kebaikan bola sepak khususnya bagi pembangunan pemain muda selain perbelanjaan menguruskan dua pasukan akan menjadi lebih berhemah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merujuk kepada Perkara 2.1 garis panduan ‘Reserve Team’, pasukan yang ingin menubuhkan pasukan tersebut harus menghantar permohonan bertulis kepada MFL setahun sebelum permulaan musim.

Bagaimanapun, di bawah Perkara 2.2 turut menyatakan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mempunyai budi bicara tunggal dalam membuat keputusan untuk membenarkan sesebuah pasukan mewujudkan ‘Reserve Team’ haruslah dimiliki pihak yang sama.

Berdasarkan keputusan itu, Kuala Lumpur FA dan PKNP FC turun ke saingan Liga Premier musim hadapan berdasarkan kedudukan mereka menamatkan saingan di tangga ke-11 dan 12 Liga Super musim lalu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL juga memutuskan wakil Liga Premier, Sabah FA dan PDRM FA akan dipromosikan ke Liga Super musim 2020.

Manakala kekosongan yang ditinggalkan PKNS FC pula akan diisi pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Premier musim lalu, UiTM FC.

Juara Liga M3, Kelantan United FC pula layak ke Liga Premier musim 2020 secara ‘bye’ selepas pasukan tercorot Liga Premier, Perlis FA tidak layak bermain di pusingan playoff dan turun ke Liga M3 musim 2020 selepas penyertaan mereka dalam Liga Premier dibatalkan.


Pengarang :