Tun Dr Mahathir Mohamad menerima Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) yang disampaikan Rektor ASWARA Prof Madya Sahar Sa’di Hashim (kanan) pada Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-15 hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM, isteri terima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ke-15 hari ini.

Perdana menteri dan isteri masing-masing menerima Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Promosi Seni Kreatif) yang disampaikan oleh Rektor Aswara Prof Madya Sahar Sa’ di Hashim di Akademi ASWARA di sini.

Penganugerahan itu sebagai penghargaan dan penghormatan tinggi terhadap Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membangun serta melestarikan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Istiadat konvosyen itu menyaksikan 171 graduan daripada tujuh fakulti menerima Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dan Diploma manakala lima graduan daripada Pusat Pengajian Pasca Siswazah menerima Ijazah Sarjana Seni Kreatif dan Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif.

ASWARA terdiri daripada Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, Penulisan Kreatif dan Filem, Tari, Teater, Muzik, Animasi dan Multimedia dan Rekaan Komunikasi Visual.

ASWARA yang beroperasi selama 25 tahun merupakan institusi pengajian tinggi khusus dalam bidang seni yang menawarkan 28 program akademik di peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah doktor falsafah.

Kesemua program itu mendapat pengiktirafan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

-BERNAMA


Pengarang :