Tun Dr Mahathir Mohamad (kedua, kiri) melawat perpustakaan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selepas menyampaikan ucaptama mengenai ‘Menjelaskan Islamophobia: Kearah Pengertian Lebih Mendalam Mengenai Islam,’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), pada 11 November 2019. Turut hadir Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kanan). – Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

PM: Raih sokongan dunia hentikan penindasan terhadap umat Islam

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, umat Islam harus berusaha mendapatkan sokongan dunia dengan menonjolkan ketidakadilan yang dilakukan oleh Israel terhadap umat Islam di Palestin.

Perdana Menteri menegaskan bahawa tidak benar semua orang Eropah atau Amerika itu menentang Islam atau Muslim atau Palestin, kerana kebanyakan mereka sebenarnya bersimpati.

“Kita perlu mendapatkan simpati dan sokongan dunia jika kita mahu menghentikan penindasan terhadap umat Islam oleh Israel.

“Tetapi jika kita melakukan tindakan keganasan, kita akan mendorong mereka ke arah menyokong Israel, kerana kemudian Israel boleh mendakwa bahawa kita tidak boleh bersikap normal dan ambil peduli terhadap nyawa orang yang tidak bersalah,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap para siri kolokium antarabangsa mengenai pemahaman Islam atas tajuk ‘Menjelaskan Islamophobia: Kearah Pengertian Lebih Mendalam Mengenai Islam,’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Dr Mahathir menegaskan umat Islam perlu sedar bahawa perbuatan keganasan yang dilakukan di tempat lain di dunia yang kononnya bagi menyokong Palestin, tidak mungkin membuahkan  kejayaan malahan rakyat Palestin yang sebenarnya telah kehilangan lebih banyak tanah kepada orang Yahudi.

Menghuraikan cara terbaik yang perlu dilakukan dalam hal ini beliau berkata,” Cara terbaik ialah dengan mendapatkan simpati dunia dengan memperlihatkan  bahawa Israel adalah pelaku ketidakadilan terhadap umat Islam.”

Kita memerlukan  lebih ramai orang untuk menyokong perjuangan umat Islam, dan tindakan keganasan tidak membantu dalam memenangi sokongan. Dalam banyak kes tindakan keganasan tidak memberi apa-apa keputusan sama sekali.

“Apa yang memberikan hasil adalah strategi yang baik, menggunakan diplomasi dan cara lain untuk memenangi sokongan ramai orang,” kata Perdana Menteri, sambil menambah bahawa umat Islam mesti menahan diri daripada  tindakan keganasan kerana atas  perbuatan ini dunia tidak akan menyayangi mereka.

Dr Mahathir juga mengetengahkan bahawa jika keadilan diberikan kepada rakyat Palestin dengan tuntutan mereka dihormati dan disokong, “Saya yakin bahawa  tindakan keganasan akan berkurangan”.

Dr Mahathir berkata, Israel sendiri telah melakukan tindakan keganasan terhadap umat Islam tetapi ini tidak dilaporkan.

“Tetapi tidak ada yang dikatakan Israelophobia. Seharusnya ada, tetapi tiada,” katanya.

Perdana Menteri menyatakan ada dalam kalangan umat Islam terpaksa melakukan apa yang dianggap sebagai keganasan ekoran kekecewaan dan kemarahan terhadap perkembangan di Palestin di tangan Israel.

“Sekiranya kita tidak mengiktiraf sebab musabab perbuatan mereka itu yang kita gelar tindakan keganasan, maka ini akan berterusan dan menjadi semakin parah apabila semakin ramai orang yang marah dan kecewa.

“…Dan sudah barang tentu ini akan menyebabkan Islam dan Muslim dikutuk  (dituduh) sebagai punca keganasan  dan ketakutan yang dirasai oleh dunia.” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :