Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Undang-undang zalim akan dipinda secepat mungkin

PUTRAJAYA, 6 NOV: Kerajaan akan meminda undang-undang bersifat drakonian atau zalim termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) secepat mungkin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pindaan undang-undang yang terlibat akan dibentang di Parlimen secepat mungkin sama ada pada sesi kali ini atau sesi akan datang.

“Walaupun mungkin kita tidak menghapuskan rang undang-undang ini sama sekali tetapi kita akan ada perubahan supaya bahagian-bahagian yang dikatakan drakonian seperti menangkap dan menyimpan dalam tahanan tanpa dihadapkan (di mahkamah), tanpa didakwa, ini akan kita pinda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) di sini malam tadi.

“Itu akan dilakukan secepat mungkin kerana kita dapati bahawa kalau ia tidak dilakukan ada kemungkinan ia disalah guna,” katanya yang juga Pengerusi PAKATAN.

Ditanya sama ada pindaan undang-undang itu dilakukan susulan penahanan 12 individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah SOSMA kerana dipercayai terbabit dalam LTTE, Dr Mahathir berkata pindaan tersebut merupakan sebahagian janji PAKATAN pada pilihan raya umum lalu.

“Kami telah membuat janji ini sebelum ini tetapi tertangguh kerana faktor tertentu, jadi kami kini merasakan kami harus segera mengambil tindakan sekiranya ia digunakan lagi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai janji untuk menyerahkan jawatannya kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata beliau tetap akan menunaikan janjinya.

“Saya berjanji, saya akan tunaikan janji saya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :