Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis kenal pasti dua individu bawa pulang abu Chin Peng

BANGKOK, 28 NOV: Polis sudah mengenal pasti dua individu yang terlibat dalam urusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata kedua-dua individu itu dipanggil untuk memberi keterangan, namun tidak mendedahkan sama ada mereka sudah hadir atau belum.

“Apabila kita mendapat jawapan kepada semua ini, Peguam Negara akan memutuskan sama ada terdapat sebarang kesalahan.

“Sehubungan itu, saya minta semua pihak bersabar dan menggunakan kewarasan dalam isu ini. Polis Diraja Malaysia akan menyiasat dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.

Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 2013 ketika berusia 89 tahun.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :